Qigong untuk mencegah penyakit kardiovaskular

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai keberkesanan intervensi qigong untuk mengurangkan peristiwa penyakit kardiovaskular dan faktor-faktor risiko kardiovaskular dalam kalangan orang dewasa yang sihat dan yang berisiko tinggi menghidap penyakit kardiovaskular.

Latar belakang

Penyakit kardiovaskular merupakan beban kesihatan global. Walau bagaimanapun, dengan mengubah beberapa tingkah laku yang boleh diubah suai, seperti meningkatkan tahap senaman dan dengan menggalakkan relaksasi untuk mengurangkan tekanan, risiko kardiovaskular mungkin boleh dikurangkan. Qigong berasal dari China dan melibatkan senaman fizikal, regulasi minda dan kawalan pernafasan untuk memulihkan Qi (tenaga hidup yang mengalir dalam seluruh badan). Qigong mungkin mengurangkan tekanan dan meningkatkan tahap senaman.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga November 2014. Kami memasukkan kajian-kajian dengan intervensi yang sekurang-kurangnya selama tiga bulan.

Keputusan dan kesimpulan

Kami mendapati 11 kajian yang lengkap(1369 peserta). Kajian-kajian ini menunjukkan variasi dalam peserta yang dilibatkan, tempoh qigong, dan susulan intervensi. Bagi dua kajian yang disusuli selama beberapa tahun selepas selesai kajian, keputusan menunjukkan qigong mempunyai kesan baik terhadap kematian semua-sebab, kematian strok dan insidens strok, tetapi adalah tidak jelas sama ada kesan ini adalah hasil daripada qigong, kerana adalah tidak pasti sama ada qigong diamalkan pada tahun-tahun selepas tamat kajian. Beberapa kesan qigong yang bermanfaat kepada tekanan darah dan tahap lipid darah dilihat, tetapi keputusan ini adalah berdasarkan kepada sebilangan kecil kajian dengan saiz sampel kecil yang berisiko bias ketara. Oleh itu, kajian tambahan yang besar, berkualiti tinggi, dan jangka panjang diperlukan sebelum kami dapat menentukan sama ada qigong bermanfaat untuk mencegah penyakit kardiovaskular.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). isunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information