Soalan ulasan
Ulasan ini mempertimbangkan sama ada vitamin C mungkin membantu untuk pesakit dengan asma atau kesesakan nafas teraruh senaman.
Latar belakang
Asma merupakan keadaan keradangan paru-paru yang dicirikan oleh penyempitan saluran udara dan ia dikaitkan dengan nafas berdehit, sesak nafas, batuk dan keketatan dada. Vitamin C dicadangkan sebagai rawatan yang mungkin untuk asma.
Ciri-ciri kajian
Sebelas kajian dengan 419 pesakit dengan asma atau kesesakan nafas teraruh senaman telah dimasukkan dalam ulasan ini yang membandingkan vitamin C berbanding dengan plasebo (tanpa vitamin C). Kebanyakan kajian adalah dalam kalangan orang dewasa dan satu kajian kecil adalah dalam kalangan kanak-kanak. BIlangan yang kecil bagi kajian sedia ada untuk ulasan dan reka bentuk kajian yang berbeza bermakna pengulas hanya mampu menerangkan kajian individu, daripada mengumpulkan keputusan mereka untuk menentukan satu keputusan secara purata. Reka bentuk kajian tidak diterangkan dengan baik dalam kebanyakan laporan kajian, oleh itu adalah tidak mungkin untuk menentukan risiko bias untuk kebanyakan kajian. Sangat sedikit data yang tersedia dalam kajian ini untuk hasil utama mereka dan ini mungkin menunjukkan sesetengah laporan hasil secara terpilih.
Keputusan utama
Tiada indikasi manfaat kajian yang mempertimbangkan vitamin C dalam hubungan dengan asma. Walau bagaimanapun, adalah tidak mungkin untuk membuat sebarang kesimpulan jelas berdasarkan kajian-kajian tersebut pada tahap ini. Ulasan tersebut menyimpulkan bahawa tiada bukti yang mencukupi wujud pada masa ini untuk menilai penggunaan vitamin C sebagai rawatan asma. Penyelidikan yang lebih besar dan dengan reka bentuk yang lebih baik adalah diperlukan untuk memberikan panduan yang lebih jelas. Terdapat beberapa indikasi bahawa vitamin C membantu dalam kesesakan nafas teraruh senaman dari segi kesenangan orang bernafas dan simptom mereka; namun, kerana penemuan tersebut dibekalkan oleh kajian yang sangat kecil mereka tidak membekalkan jawapan lengkap sebagai panduan rawatan.
Kualiti bukti
Butiran cara pesakit dibahagikan untuk menerima vitamin C atau tidak, tidak diterangkan dengan jelas dalam 10 daripada 11 kajian dan pengulas mempertimbangkan ini dengan berhati-hati dalam ulasan ini dalam kaitan dengan tahap ketidakpastian mereka dalam penafsiran keputusan. Dengan mengambil kira ini, bersama-sama dengan ketidaktepatan keputusan, pengulas menganggarkan kegunaan vitamin C sebagai rawatan adalah sama ada berkualiti rendah atau sederhana dalam kaitan dengan asma.
Sebagai tambahan, untuk kesesakan nafas teraruh senaman, tiga kajian yang membekalkan data untuk ulasan adalah kecil dan pengulas sedar tentang perlunya membuat kesimpulan yang berhati-hati mengenai keputusan ini.
Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehingga Disember 2012.
Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.