Bolehkah kemoterapi tambahan selepas rawatan awal dalam kanser serviks tahap lanjut pada peringkat tempatan mengurangkan perulangan kanser dan memanjangkan hayat?

Isu ini

Rawatan piawai bagi kanser serviks peringkat lanjut tempatan (peringkat IIB hingga IVA) ialah 'kemoradiasi serentak' apabila ubat antikanser diberikan pada tempoh rawatan yang sama dengan radioterapi pelvik (terapi radiasi pada bahagian bawah abdomen). Walau bagaimanapun, tumor boleh kekal (kanser residu) atau boleh kembali (kanser berulang) selepas rawatan piawai ini. Kajian ini menilai sama ada pemberian ubat antikanser tambahan (ACT) selepas rawatan piawai boleh memanjangkan kehidupan wanita yang mengalami kanser serviks tahap lanjut tempatan jika berbanding dengan rawatan piawai sahaja.

Bagaimanakah kami menjalankan ulasan?

Kami menyelidik kesusasteraan yang terkini sehingga Mac 2014 dan mengenal pasti dua kajian terkawal rawak yang membandingkan rawatan piawai dengan rawatan piawai ditambah dengan ACT pada wanita yang menghadapi kanser pangkal rahim tahap lanjut tempatan. Dua kajian penulis telah menilai kajian-kajian ini dan mengumpul data secara bebas.

Keputusan

Kedua-dua kajian itu sangat berbeza; dengan demikian, kami tidak dapat menyatukan data mereka. Satu kajian yang dijalankan pada peringkat antarabangsa antara tahun 2002 dan 2004, yang melibatkan 515 orang wanita, mendapati bahawa kanser mengambil masa lebih lama untuk berulang di golongan wanita yang menerima ACT (cisplatin dan gemcitabine), dan lebih ramai wanita dalam kumpulan ACT hidup selepas tiga tahun jika dibandingkan dengan golongan wanita yang menerima rawatan piawai (80% jika berbanding dengan 69%). Kami menganggap penemuan ini berisiko tinggi dari segi bias untuk kajian ini, kerana wanita-wanita telah diberikan ubat yang berbeza semasa rawatan piawai, dan secara keseluruhannya kesan rawatan kajian tidak dapat dikaitkan dengan ACT sahaja. Kajian lain, yang dijalankan di beberapa hospital di Thailand antara tahun 1988 dan 1994, melibatkan 463 orang wanita. ACT (5-fluorouracil) tidak memanjangkan jangka masa kehidupan atau masa yang diambil bagi kanser untuk berulang di golongan wanita dalam kajian ini. Satu trend yang mencadangkan peningkatan kesan sampingan telah dilaporkan dalam kedua-dua kajian yang melibatkan kumpulan yang mengambil ACT.

Kesimpulan

Kami menemui bukti yang tidak mencukupi untuk menyokong pemberian ubat antikanser tambahan kepada wanita yang telah menerima rawatan piawai bagi kanser pangkal rahim tahap lanjut tempatan, kerana data kini adalah terhad daripada dua kajian yang sangat berbeza.

Nota terjemahan: 

Nota terjemahan CD010401.pub2. Disunting oleh Chan Mei Wai (RUMC)

Tools
Information