Soalan ulasan
Adakah pelbagai rawatan untuk osteoporosis dalam kalangan orang dengan beta-talasemia berkesan?
Latar belakang
Osteoporosis mempengaruhi ketumpatan tulang dan membawa kepada peningkatan risiko fraktur. Ia adalah punca penyakit yang penting dalam kalangan orang dengan beta-talasemia (gangguan darah yang mengurangkan pengeluaran hemoglobin).
Terdapat beberapa kemungkinan rawatan untuk osteoporosis dalam kalangan orang dengan beta-talasemia, termasuk bisphosphonates (ubat yang membantu melambatkan kehilangan tulang), kalsitonin, kalsium, suplemen zink, hydroxyurea, terapi penggantian hormon (HRT), denosumab (yang menghalang penyerapan tulang dan meningkatkan ketumpatan mineral tulang (BMD)), dan strontium ranelate (yang mempromosi pembentukan tulang dan menghalang resorpsi tulang).
Kami ingin cari cara paling berkesan merawat osteoporosis dalam kalangan orang dengan beta-talasemia. Hasil utama kami ialah BMD di bahagian bawah belakang, pinggul dan pergelangan tangan (lebih tinggi adalah lebih baik); fraktur; mobiliti; kualiti hidup; dan kesan rawatan yang tidak diingini. Ini adalah kemaskini Ulasan Cochrane terbitan terdahulu.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 4 Ogos 2022.
Ciri-ciri kajian
Ulasan menyertakan enam kajian di mana 298 orang dengan beta-talasemia berumur antara 10 dan 78 tahun diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan rawatan . Kajian-kajian menyiasat bisphosphonate (alendronate, clodronate, neridronate, dan pamidronate), penambahan zink sulfat, denosumab, dan strontium ranelate. Lima kajian membandingkan rawatan aktif dengan rawatan dummy (plasebo) atau tiada rawatan, manakala satu kajian membandingkan dua dos bisphosphonate yang berbeza. Empat kajian dijadualkan berlangsung selama dua tahun (walaupun pada masa penulisan, salah satu daripada kajian ini hanya mempunyai data 12 bulan yang diterbitkan), dan dua kajian berlangsung selama 12 bulan.
Keputusan utama
Bisphosphonate berbanding plasebo atau tiada rawatan
Satu kajian, yang mendaftarkan 25 orang, mendapati alendronate dan clodronate boleh meningkatkan BMD di bahagian bawah belakang dan pinggul berbanding plasebo selepas dua tahun. Satu kajian, yang mendaftarkan 118 orang, melaporkan peningkatan BMD pada bahagian bawah belakang dan leher femoral (bahagian tulang peha yang bersambung ke pelvis) pada enam dan 12 bulan dengan neridronate berbanding tanpa rawatan, tetapi hanya pada 12 bulan untuk keseluruhan sendi pinggul (tiada data untuk dianalisis).
Seorang dalam kajian neridronate (118 peserta) melaporkan frakttur berikutan kemalangan jalan raya. Kami tidak pasti kesan neridronate terhadap kualiti hidup. Kami juga tidak pasti sama ada bisphosphate mempunyai kesan yang tidak diingini. Tiada kajian melaporkan BMD pada pergelangan tangan atau mobiliti.
Pamidronate 60 mg berbanding pamidronate 30 mg
Satu kajian selama 12 bulan, yang melibatkan 26 orang, membandingkan dos bulanan pamidronate yang berbeza (30 mg berbanding 60 mg). Kami tidak pasti tentang kesan dos yang berbeza terhadap BMD di bahagian bawah belakang, pinggul dan lengan bawah. Kajian ini tidak melaporkan fraktur, mobiliti, kualiti hidup, atau kesan rawatan yang tidak diingini.
Zink berbanding plasebo
Satu kajian, yang mendaftarkan 42 orang, menunjukkan penambahan zink berbanding plasebo mungkin meningkatkan BMD di bahagian bawah belakang selepas 12 bulan dan pinggul dan selepas 18 bulan. Kajian ini tidak melaporkan BMD pada pergelangan tangan, fraktur, mobiliti, kualiti hidup, atau kesan rawatan yang tidak diingini.
Denosumab berbanding plasebo
Satu kajian, yang mendaftarkan 63 orang, membandingkan denosumab 60 mg dengan plasebo. Kami tidak pasti tentang kesan denosumab terhadap BMD pada bahagian bawah belakang, pinggul dan pergelangan tangan selepas 12 bulan berbanding plasebo. Kajian tidak melaporkan fraktur, mobiliti, kualiti hidup, atau kesan rawatan yang tidak diingini, tetapi melaporkan pengurangan sakit tulang dengan denosumab selepas 12 bulan.
Strontium ranelate berbanding plasebo
Satu kajian, yang mendaftarkan 24 orang, secara naratif melaporkan peningkatan BMD di bahagian bawah belakang selepas 24 bulan dalam kalangan orang yang mengambil strontium ranelate,
tetapi tiada perubahan dalam kalangan mereka yang mengambil plasebo. Kajian juga melaporkan penurunan sakit belakang dengan strontium ranelate, yang kami anggap mewakili kualiti hidup yang lebih baik, melalui keputusan yang sangat tidak pasti.
Batasan bukti
Kami sederhana yakin dengan beberapa keputusan, tetapi sedikit atau sangat sedikit yakin terhadap yang lain. Tiada ramai peserta dalam kajian-kajian individu dan kami mempunyai kebimbangan tentang kaedah-kaedah kajian. Secara khusus, walaupun semua kajian menyatakan orang yang menerima rawatan yang berbeza secara rawak, dua kajian tidak menerangkan dengan tepat bagaimana mereka memutuskan siapa yang diberi rawatan. Di samping itu, hanya dua kajian menerangkan cara mereka menghalang orang tahu kumpulan mana mereka berada.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my