Mesej utama
• Mungkin tiada perbezaan dalam prestasi ceftriaxone (sejenis cephalosporin) berbanding dengan azithromycin, fluoroquinolones, atau chloramphenicol (ubat antimikrob lain) untuk dewasa dan kanak-kanak dengan demam enterik (demam tifoid).
• Cefixime (jenis sefalosporin yang lain) juga boleh digunakan untuk rawatan demam enterik pada orang dewasa dan kanak-kanak tetapi mungkin tidak seberkesan fluoroquinolones.
• Pengubal dasar dan doktor perlu mempertimbangkan corak rintangan antibiotik tempatan apabila memilih pilihan rawatan untuk demam enterik.
Apakah demam enterik?
Demam enterik adalah istilah umum bagi dua penyakit yang dikenali secara individunya sebagai demam tifoid dan demam paratifoid. Penyakit ini hanya berlaku pada orang dan disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Salmonella typhi dan Salmonella paratyphi A, B atau C. Penyakit ini paling biasa berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana di mana air dan sanitasi yang mungkin tidak mencukupi. Demam enterik biasanya menyebabkan demam dan sakit kepala dengan cirit-birit, sembelit, sakit perut, loya dan muntah, atau kekurangan selera makan. Jika tidak dirawat, sesetengah orang boleh mengalami komplikasi yang serius dan boleh membawa kepada maut.
Apakah cephalosporin dan bagaimana ia berfungsi?
Cephalosporin adalah keluarga besar ubat antimikrob, yang biasanya digunakan untuk merawat pelbagai penyakit berjangkit. Cefalosporin individu (seperti cefixime dan ceftriaxone) mempunyai perbezaan dalam bakteria khusus yang boleh dirawat, cara mereka diberikan - melalui mulut (secara oral) atau disuntik (intravena) - dan bila mereka diciptakan. Sesetengah cephalosporin boleh merawat Salmonella typhi dan Salmonella paratyphi A, B, atau C, bakteria yang menyebabkan demam enterik (tifus).
Pada masa lalu, demam enterik bertindak balas dengan sangat baik kepada beberapa jenis ubat antimikrob yang lain, seperti chloramphenicol. Tetapi, rintangan bakteria terhadap pelbagai ubat antimikrob telah menjadi masalah kesihatan awam utama di banyak kawasan, terutamanya Asia dan Afrika. Cephalosporin khusus kini sering digunakan untuk merawat demam enterik akibat rintangan ubat yang berkembang kepada antimikrob lain.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada cephalosporin adalah lebih baik atau teruk dalam merawat orang dewasa dan kanak-kanak dengan demam enterik berbanding kepada antimikrobial lain yang lain biasa diberikan seperti fluoroquinolones dan azithromycin. Untuk mengetahui perkara ini, kami ingin mencari sama ada rawatan dengan cephalosporin akan membawa kepada simptom penyakit yang berterusan (kegagalan klinikal), bakteria Salmonella typhi dan Salmonella paratyphi A, B, atau C yang berterusan dalam darah (kegagalan mikrobiologi), atau simptom kembali atau Salmonella typhi dan Salmonella paratyphi A, B, atau C dalam darah (kambuh).
Kami juga ingin mengetahui berapa lama cephalosporin ambil untuk mengurangkan demam, adakah ia mengurangkan tempoh masa pesakit perlu tinggal di hospital, sama ada najis pesakit masih membawa bakteria dan dengan itu kekal berjangkit, dan sama ada ia menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini pada pesakit.
Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian yang membandingkan rawatan antimikrobial cephalosporin dengan jenis antimikrobial yang lain, atau membandingkan rawatan antimikrobial sefalosporin dengan antimikrobial cephalosporin yang lain, pada orang dewasa atau kanak-kanak dengan demam enterik yang didiagnosis melalui ujian makmal, seperti kultur darah.
Apa yang kami dapati?
Kami mengenal pasti 27 kajian yang melibatkan 2231 orang dewasa dan kanak-kanak dari Afrika, Asia, Eropah, Timur Tengah, dan Caribbean yang lain membandingkan rawatan antimikrobial cephalosporin dalam demam enterik dengan antimikrobial lain.
Ceftriaxone didapati sebagai rawatan berkesan untuk demam enterik, dengan sedikit kesan yang tidak diingini, dan serupa dengan azithromycin, fluoroquinolone dan chloramphenicol dalam keupayaannya untuk merawat demam enterik.
Cefixime juga boleh digunakan untuk merawat demam enterik tetapi mungkin tidak berkesan sebaik jika dibandingkan dengan antimikrobial fluoroquinolone.
Penemuan ini hanya betul jika bakteria yang menyebabkan jangkitan demam enterik terdedah kepada antimikrob yang diberikan untuk merawat jangkitan; iaitu bakteria tidak tahan terhadap antimikrob tersebut.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap anggaran kami, untuk penemuan ini kerana bilangan pesakit yang rendah dalam kajian yang disertakan. Selain itu, dalam kebanyakan kajian yang disertakan, pesakit dan doktor tahu antimikrob yang diterima oleh pesakit, di mana boleh menyebabkan keputusan yang bias.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Hasil ini adalah terkini sehingga 24 November 2021.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my