Membandingkan pelbagai jenis kemoterapi untuk merawat orang tua dengan kanser paru-paru teruk

Latar belakang

Di seluruh dunia, kanser paru-paru bertanggungjawab untuk kebanyakan kes kematian berkaitan kanser dalam kalangan individu dari kedua-dua jantina. Bagi pesakit dewasa dengan penyakit teruk, rejimen terapi berdasarkan gabungan cisplatin atau carboplatin dengan agen yang berbeza dianggap sebagai penjagaan piawaian. Walau bagaimanapun, beberapa pesakit warga tua telah dimasukkan ke dalam kajian yang berkaitan untuk kemoterapi, menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan dan keberkesanan rejimen tersebut, yang dianggap sebagai penjagaan piawaian untuk pesakit dewasa. Akibatnya, pesakit yang lebih tua sering dirawat dengan rejimen kemoterapi yang kurang intensif.

Objektif ulasan

Objektif kami adalah untuk menyiasat kesan rejimen kemoterapi yang berbeza (ejen tunggal bukan platinum, gabungan bukan platinum dan gabungan platinum) terhadap kelangsungan hidup, kualiti hidup, pengecutan tumor dan ketoksikan kepada orang tua dengan kanser paru-paru teruk.

Ciri-ciri kajian

Kami melakukan carian sistematik (sehingga 31 Oktober 2014) untuk kajian yang membandingkan terapi ejen tunggal bukan platinum dengan terapi gabungan bukan platinum atau terapi gabungan bukan platinum dengan terapi kombinasi platinum kepada pesakit berumur lebih 70 tahun yang menghidap kanser paru-paru sel kecil teruk. Kami menyertakan dalam ulasan sejumlah 51 kajian (tujuh kajian dalam kumpulan terapi ejen tunggal bukan platinum vs terapi gabungan bukan platinum dan 44 kajian dalam kumpulan terapi gabungan bukan platinum vs terapi gabungan platinum); walau bagaimanapun, kami dapat memasukkan hanya 19 kajian dalam meta-analisis.

Hasil utama

Terapi ejen tunggal bukan platinum berbanding gabungan bukan platinum

Kami menganalisis lima kajian yang melibatkan 1294 peserta. Kami mendapati bahawa rejimen ini adalah sama-sama berkesan untuk kelangsungan hidup. Walau bagaimanapun, kombinasi agen bukan platinum dikaitkan dengan peluang yang lebih besar untuk mengurangkan saiz tumor. Kami juga mendapati bahawa rejimen ini adalah serupa mengenai kemungkinan ketoksikan utama seperti paras hemoglobin yang rendah, platelet, dan kiraan sel putih (neutrofil). Hanya dua kajian menilai kesan rawatan ke atas kualiti hidup, dan kami tidak dapat menggabungkan keputusan ini kerana kekurangan maklumat.

Terapi bukan platinum berbanding terapi gabungan platinum

Kami menganalisis 14 kajian yang melibatkan 1705 peserta warga tua. Kami mendapati bahawa terapi platinum dikaitkan dengan kelangsungan hidup yang lebih lama dan peluang yang lebih besar untuk mengurangkan saiz tumor dalam kalangan pesakit warga tua. Walau bagaimanapun, kami mendapati bahawa rejimen ini adalah lebih toksik daripada rejimen yang berasaskan agen bukan platinum dan memberikan risiko yang lebih tinggi untuk paras hemoglobin dan platelet yang rendah, keletihan, loya atau muntah, dan kebas atau kesemutan pada tangan dan kaki. Hanya lima kajian menilai kesan rawatan ke atas kualiti hidup, dan kami tidak dapat menggabungkan keputusan ini kerana kekurangan maklumat.

Kualiti bukti

Terapi ejen tunggal bukan platinum berbanding gabungan bukan platinum

Kami menurunkan taraf kepada kualiti bukti yang rendah tentang kelangsungan hidup kerana keputusan yang berbeza dilaporkan merentas kajian, dan kerana tiga kajian yang disertakan telah dihentikan lebih awal, yang juga mempengaruhi kualiti bukti untuk kemungkinan mengurangkan saiz tumor dan hemoglobin, platelet dan sel putih yang rendah. Untuk hasil ini, isu dengan reka bentuk kajian juga menjadi perkara yan membimbangkan, yang membawa kepada kualiti bukti yang rendah.

Terapi gabungan bukan platinum berbanding gabungan platinum

Kami menurunkan kualiti bukti kepada sederhana untuk manfaat terapi gabungan platinum untuk kelangsungan hidup berdasarkan kemasukan sembilan kajian yang tidak direka khusus untuk pesakit yang lebih tua. Isu lain dengan reka bentuk kajian mempengaruhi kualiti bukti pada selang waktu pertumbuhan tumor selepas permulaan rawatan, kadar pengecutan tumor dan ketoksikan. Mengenai tahap hemoglobin dan platelet yang rendah, kami mengurangkan kualiti bukti lebih lanjut kepada rendah kerana ketidaktepatan keputusan yang dilaporkan. Kami menyedari bahawa batasan lain seperti umur sahaja mungkin bukan kriteria yang mencukupi untuk pemilihan rawatan terbaik. Orang yang lebih tua boleh menjadi sangat berbeza antara satu sama lain dari segi keadaan kesihatan lain yang berkaitan dengan penuaan. Pesakit yang lebih tua termasuk dalam kajian rawak terkawal melalui kriteria kelayakan yang ketat yang mengecualikan kebanyakan pesakit dengan masalah kesihatan lain. Oleh itu, kami percaya bahawa keputusan ini mesti ditafsirkan dengan pertimbangan klinikal yang digunakan untuk memilih rejimen rawatan yang sesuai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information