Apakah uveitis kronik tidak berjangkit?
Uveitis adalah sekumpulan penyakit mata yang disebabkan oleh keradangan (kemerahan, bengkak, sakit, dll) di dalam mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan. Punca uveitis boleh terdiri daripada jangkitan dan bukan jangkitan. Uveitis tidak berjangkit boleh terjadi akibat penyakit di bahagian lain badan. Uvea (lapisan tengah mata) kaya dengan salur darah. Jika sistem imun sedang menghadapi masalah di satu kawasan, sel dan bahan kimia yang dihasilkannya boleh mengalir melalui aliran darah dan memasuki mata, menyebabkan keradangan. Uveitis akut adalah kurang daripada tiga bulan”; uveitis kronik bertahan lebih tiga bulan.
Bagaimana ia dirawat?
Uveitis kronik tidak berjangkit biasanya dirawat dengan steroid yang diaplikasi berdekatan atau di dalam mata, ataupun ubat yang lain, yang dimakan atau disuntik, untuk mengawal keradangan. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini, termasuk steroid, boleh merendahkan sistem imun badan dan mengakibatkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin menilai sama ada implan yang mengandungi steroid (kapsul kecil yang mengeluarkan steroid di dalam mata secara perlahan) mampu mengurangkan uveitis berulang , memperbaik penglihatan atau memperbaik kualiti hidup. Kami juga ingin menilai sama ada implan-implan ini akan meningkatkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.
Apa yang kami lakukan
Kami mencari kajian-kajian yang merawakkan kanak-kanak dan dewasa dengan uveitis kronik tidak berjangkit untuk menerima sama ada implan steroid atau rawatan lain; rawatan lain boleh jadi rawatan olok-olok (sham) atau penjagaan standard. Kami merumuskan dapatan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap dapatan-dapatan tersebut.
Apa yang kami temui
Kami temui dua kajian (282 peserta) yang membandingkan implan surgikal yang mengeluarkan fluocinolone acetonide dengan rawatan sham. Jenis dan amaun ubat yang dihasilkan adalah berbeza di dalam kedua-dua kajian. Implan yang mengandungi steroid dilihat mampu mengurangkan risiko uveitis berulangi, menambahbaik penglihatan dan kualiti hidup.
Kami temui dua kajian (683 peserta) yang membandingkan mplan yang mengeluarkan fluocinolone acetonide yang diletak melalui pembedahan dengan rawatan standard mata. Kedua-dua kajian menggunakan implan yang sama. Keputusan tidak menunjukkan implain yang mengandungi steroid mengurangkan risiko uveitis berulang atau memperbaik penglihatan tetapi para peserta dilihat mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.
Implan yang mengandungi steroid dilihat meningkatkan risiko untuk mendapat katarak (kekeruhan lensa mata), dan meningkatkan tekanan di dalam mata. Keempat-empat kajian menyertakan peserta dari pelbagai negara.
Apakah batasan bukti?
Kami hanya menyertakan empat kajian. Kajian-kajian tidak mendaftarkan bilangan peserta yang besar, dan sesetengh kajian ada kelemahan dalam reka bentuk kajian. Oleh itu, keyakinan kami adalah sederhana dan terhad untuk penemuan-penemuan tersebut.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat November 2021.
Diterjemah oleh Alya Nur Asmalina Ahmad Nazri (RCSI & UCD malaysia Campus.). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my