Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui kaedah terbaik untuk mengurus gangguan rasa akibat kekurangan zink/idiopatik (tidak diketahui penyebabnya) dan gangguan rasa sekunder kepada kegagalan kronik ginjal dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa.
Mesej utama
Memberi penambahan zink atau akupunktur mungkin ada sedikit manfaat dalam merawat gangguan rasa. Walau bagaimanapun, kami masih memerlukan kajian berkualiti tinggi untuk mempastikan peranan penambahan zink dan akupunktur dalam merawat gangguan rasa.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Deria rasa adalah penting kepada kesihatan dan kesejahteraan psikologi individu. Gangguan rasa meliputi hilangan deria rasa, kekeliruan rasa hingga kurang keupayaan untuk merasa. Sebarang gangguan dalam persepsi rasa boleh menyebabkan malnutrisi dan pengambilan bahan makanan yang beracun. Ia mungkin disebabkan oleh penyakit, ubat-ubatan, rawatan radiasi, atau penuaan; atau mungkin tidak diketahui sebabnya.
Pelbagai kaedah rawatan telah diguna untuk memperbaiki sensasi rasa. Ini termasuklah penggunaan sebatian zink, pilokarpin, asid lipoik alfa, ransangan magnetik transkranium, ginkgo biloba dan akupunktur.
Apakah keputusan utama uslasan?
Kami mengumpul dan menganalisis kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 10 kajian yang mana sejumlah 581 peserta menerima pelbagai rawatan. Sembilan kajian menilai manfaat sebatian zink dan satu kajian menilai kesan akupunktur. Kami hanya memasukkan dalam ulasan ini kajian gangguan rasa idioptik atau akibat kekurangan zink atau kegagalan ginjal kronik.
Dua kajian adalah dari Jerman, dua dari UK dan tiga dari AS. Kajian-kajian tersebut membandingkan zink dengan plasebo atau akupunktur dengan prosedur sham untuk pesakit dengan gangguan rasa. Dua kajian dibiaya oleh kerajaan, tiga kajian adalah biayaan persendirian, dua dibiaya oleh syarikat farmaseutikal dan tiga kajian tidak menyebutkan perincian pembiayaan.
Apabila pesakit dengan gangguan rasa diberi zink berbanding plasebo:
- kami mendapati bukti berkualiti sangat rendah yang tidak cukup untuk merumuskan peranan penambahan zink untuk memperbaiki akuiti rasa yang dilapor oleh pesakit dan bukti berkualiti sangat rendah penambahan zink dapat memperbaiki akuiti rasa dalam kalangan pesakit dengan gangguan rasa akibat kekurangan zink/idiopatik;
- penambahan zink tidak menunjukkan peristiwa buruk seperti ekzema, loya, sakit abdomen, cirit-birit, sembelit, pengurangan zat besi darah, peningkatan fosfatase alkalin dan penigkatan kecil trigliserid darah;
- tiada kajian yang melihat penambahbaikan dalam diskriminasi rasa atau kualiti hidup.
Apabila pesakit dengan gangguan rasa diberi akupunktur berbanding peosedur sham:
- kami mendapati bukti berkualiti sangat rendah yang tidak cukup untuk merumuskan peranan akupunktur untuk memperbaiki diskriminasi rasa dalam kes disgeusia idiopatik (kekeliruan rasa) dan hipogeisia (kurang keupayaan untuk rasa);
- kajian akupunktur tidak menunjukkan peristiwa buruk;
- tiada kajian yang melihat tentang penambahbaikan dalam akuiti rasa dan kualiti hidup.
Kami tidak dapat membuat rumusan tentang keunggulan penambahan zink atau akupunktur kerana tiada di antara kajian-kajian itu membandingkan intervensi tersebut.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 4 Julai 2017.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my