Apakah isunya?
Ulasan ini bertujuan untuk menilai sama ada rawatan jangkitan chlamydial semasa mengandung menyembuhkan jangkitan dan menghalang komplikasi kepada wanita dan bayi tanpa menyebabkan kesan sampingan. Ulasan baru ini menggantikan ulasan awal mengenai topik ini.
Mengapa ini penting?
Chlamydia trachomatis adalah jangkitan bakteria yang disebarkan secara seksual. Kebiasaannya ia terdapat pada wanita yang lebih muda. Wanita mungkin mengalami jangkitan ini tanpa disedari. Pada wanita hamil, Chlamydia trachomatis kelamin boleh menyebabkan komplikasi kehamilan seperti kelahiran pramatang, pecahan membran pramatang, berat lahir rendah bayi, dan jangkitan dalam rahim selepas beranak. Bayi yang memperoleh Chlamydia trachomatis sewaktu dilahirkan boleh mendapat jangkitan paru-paru dan mata.
Mencari rawatan yang berkesan dengan kesan sampingan yang minima adalah amat penting memandangkan komplikasi boleh berlaku dengan jangkitan Chlamydia trachomatis yang tidak dirawat semasa kehamilan.
Apakah bukti yang penyelidik perolehi?
Penyelidik mencari bukti (Jun 2017) dan memasukkan 15 kajian dalam ulasan. Kajian-kajian ini mempunyai risiko berat sebelah yang bercampur-campur dan mempunyai kualiti yang terhad, sering kali dengan bilangan peserta yang kecil. Tiga kajian membandingkan antibiotik (erythromycin, clindamycin, dan amoxicillin) dengan plasebo. Kajian lain membandingkan antibiotik yang berbeza antara satu sama lain.
Semua kajian yang dilaporkan menyembuhkan chlamydia, berdasarkan penghapusan bakteria, dengan antibiotik. Erythromycin (bukti berkualiti sederhana dari dua kajian, 495 wanita) dan clindamycin (bukti berkualiti rendah dari satu kajian, 85 wanita) yang kelihatan lebih berkesan daripada plasebo. Kualiti bukti untuk amoxicillin berbanding plasebo (satu kajian 15 wanita) adalah sangat rendah, oleh itu penyelidik tidak pasti mengenai hasilnya.
Apabila membandingkan antibiotik yang berbeza antara satu sama lain, tiada antibiotik yang jauh lebih baik daripada yang lain dalam mengubati chlamydia dalam kajian yang diperiksa oleh penyelidik: amoxicillin berbanding azithromycin (kualiti bukti yang sangat rendah daripada dua kajian, 144 wanita), amoxicillin berbanding erythromycin (bukti berkualiti tinggi daripada empat kajian, 466 wanita), azithromycin berbanding erythromycin (kualiti bukti sederhana dari enam kajian, 374 wanita), clindamycin berbanding erythromycin (bukti berkualiti rendah dari dua kajian, 173 wanita), amoxicillin berbanding clindamycin (bukti berkualiti sederhana satu kajian, 101 wanita). Hanya satu kajian yang menilai jangkitan berulang, kelahiran pramatang, pecahan membran pramatang, kematian perinatal dan berat lahir rendah dan mendapati tiada perbezaan yang jelas antara jenis antibiotik yang berbeza yang diperiksa.
Kesan sampingan adalah lebih biasa dengan erythromycin (dua kajian, 495 wanita) dan clindamycin (satu kajian, 85 wanita) berbanding dengan plasebo. Amoxicillin menghasilkan kesan sampingan lebih sedikit berbanding azithromycin (satu kajian, 36 wanita) atau erythromycin (empat kajian, 513 wanita), dan azithromycin menyebabkan kesan sampingan lebih sedikit berbanding erythromycin (enam kajian, 374 wanita). Amoxicillin dan clindamycin menghasilkan sejumlah kesan sampingan yang sama dalam satu kajian (107 wanita).
Apakah maksudnya?
Rawatan jangkitan chlamydia dengan antibiotik kelihatan berkesan semasa kehamilan. Tiada perbezaan yang jelas antara amoxicillin, erythromycin, clindamycin, azithromycin dalam mengubati jangkitan atau kelahiran pramatang, pecahan membran pramatang, dan berat lahir rendah. Azithromycin dan clindamycin nampaknya menghasilkan kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding erythromycin.
Kajian yang dimasukkan semuanya dilakukan di Amerika Utara. Ujian Chlamydia masih menjadi masalah dalam tetapan sumber rendah disebabkan oleh kosnya. Penyelidik membuat kesimpulan bahawa kajian yang dirancang dengan baik mengenai saiz sampel yang sesuai, dalam tetapan yang berbeza, diperlukan untuk menilai lagi kesan rawatan jangkitan chlamydia semasa kehamilan. Rintangan terhadap antibiotik yang telah diuji berubah sejak kajian yang disertakan dalam ulasan ini dijalankan. Khususnya, penyelidikan masa depan dapat melaporkan hasil tumpuan dalam ulasan ini dan menyasarkan antibiotik seperti amoxicillin dan clindamycin, yang mungkin berkesan dalam mengubati chlamydia dengan kesan sampingan yang paling sedikit.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.