Latihan mobiliti untuk meningkatkan mobiliti dan fungsi orang tua yang lemah

Latar belakang

Kelemahan adalah biasa dalam kalangan orang tua. Kelemahan menyebabkan peningkatan kemungkinan terjatuh, kesukaran bergerak (contoh berjalan) dan fungsi, kemasukan ke hospital, dan kematian. Dianggarkan bahawa 21% daripada penduduk yang tinggal dalam komuniti berusia lebih 65 tahun adalah lemah. Latihan mobiliti melibatkan pergerakan terkawal badan anda untuk melaksanakan tugas tertentu. Contoh-contoh latihan mobiliti termasuk latihan berdiri dan duduk, berjalan di sepanjang trek berjalan kaki, atau naik dan turun tangga. Latihan mobiliti boleh digunakan apabila seseorang itu menghadapi kesukaran melaksanakan tugasan tersebut.

Ciri-ciri kajian

Ulasan Cochrane ini adalah terkini hingga Jun 2021 dan memasukkan 12 kajian dengan sejumlah 1317 peserta. Kajian-kajian tersebut dijalankan di sembilan buah negara. Purata umur peserta dalam kajian-kajian yang dimasukkan adalah 82 tahun; 73% daripada peserta adalah wanita. Enam kajian melaporkan pembiayaan oleh kerajaan dan institusi-institusi penyelidikan, dan satu kajian melaporkan pembiayaan daripada kumpulan advokasi komersial.

Keputusan utama

- Mobiliti bertambah baik sebanyak 8% (4% lebih tinggi kepada 13% lebih tinggi) selepas tamat tempoh latihan (12 kajian, 1151 peserta). Orang tanpa latihan mobiliti memperolehi 4.69 mata (daripada 12 pada skala Bateri Prestasi Fizikal Pendek; mata yang lebih tinggi menunjukkan mobiliti yang lebih baik). Orang dengan latihan mobiliti memperolehi 5.69 mata.

- Fungsi bertambah baik sebanyak 9% (3% lebih tinggi kepada 14% lebih tinggi) setelah tamat tempoh latihan (9 kajian, 916 peserta). Orang tanpa latihan mobiliti memperolehi 86.1 mata (daripada 100 pada indeks Barthel; mata yang lebih tinggi menunjukkan kefungsian yang lebih baik). Orang dengan latihan mobiliti memperolehi 94.68 mata.

- Kesan yang tidak diingini atau memudaratkan daripada latihan menurun sebanyak 19% (9% kurang kepada 26% kurang) (2 kajian, 225 peserta). Jika 1000 orang diikuti selama 1 tahun, 771 orang tanpa latihan mobiliti akan mengalami kesan yang tidak diingini atau memudaratkan, manakala 562 orang dengan latihan mobiliti akan mengalami kesan yang tidak diingini atau memudaratkan.

- Kemasukan ke kemudahan penjagaan menurun sebanyak 4% (8% lebih kepada 12% kurang) (1 kajian, 241 peserta). Jika 1000 orang diikuti selama 1 tahun, 248 orang tanpa latihan mobiliti akan mengalami satu kemasukan ke kemudahan penjagaan, manakala 208 orang dengan latihan mobiliti akan mengalami satu kemasukan ke kemudahan penjagaan.

- Jatuh meningkat sebanyak 1% (12% lebih kepada 7% lebih sedikit) (2 kajian, 425 peserta). Jika 1000 orang diikuti selama 1 tahun, 573 orang tanpa latihan mobiliti akan jatuh sekali, manakala 584 orang dengan latihan mobiliti akan jatuh sekali.

- Kadar kematian meningkat sebanyak 1% (6% lebih kepada 2% kurang) (6 kajian, 747 peserta). Jika 1000 orang diikuti selama 1 tahun, 51 orang tanpa latihan mobiliti akan mati, manakala 59 orang dengan latihan mobiliti akan mati.

Kepastian bukti

Pada orang dengan kelemahan, bukti berkepastian tinggi menunjukkan latihan mobiliti meningkatkan mobiliti. Bukti berkepastian sederhana menunjukkan latihan mobiliti berkemungkinan meningkatkan fungsi. Latihan mobiliti boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan kemasukan ke kemudahan penjagaan (bukti berkepastian rendah), bilangan orang yang jatuh (bukti berkepastian rendah) dan kadar kematian (bukti berkepastian sederhana). Kesan yang tidak diingini atau memudaratkan daripada latihan adalah tidak dilaporkan dengan baik, dan di mana ia dilaporkan, bukti keseluruhan adalah berkepastian yang sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiurd.edu.my

Tools
Information