Probiotik untuk kandidiasis vulva-vagina dalam kalangan wanita tidak hamil

Persoalan

Dalam ulasan Cochrane ini, kami menilai keberkesanan dan keselamatan probiotik bagi merawat kandidiasis vulva-vagina (VVC) dalam kalangan wanita tidak hamil berbanding ubat antikulat konvensional atau probiotik yang mengubah keberkesanan ubat antikulat konvensional.

Latar belakang

Penyakit VVC berlaku apabila terjadi ketidakseimbangan habitat mikroorganisma yang normal dalam faraj. Ia bercirikan penurunan jumlah sejenis bakteria yang dipanggil lactobacilli dan pertumbuhan kulat Candida yang berlebihan. Rawatan VVC menggunakan ubat antikulat konvensional memberi kesan yang agak memberansangkan dari segi kesembuhan secara klinikal (tiada gejala vagina yang ketara), tetapi terdapat peningkatan daya tahan diri terhadap ubat-ubatan serta kes VVC yang berulang. Ubat antikulat konvensional juga mampu memberikan kesan sampingan. Jika pesakit mengambil probiotik, mikroorganisma tersebut diyakini mampu memberikan manfaat kepada kesihatan. Probiotik berupaya mengekalkan dan memulihkan mikrobiota normal faraj serta keupayaan ia menentang Kandidas. Ini adalah konsep utama yang ditekankan dalam penggunaan probiotik sebagai rawatan VVC. Kami ingin memastikan, sama ada penggunaan probiotik berkesan merawat VVC dalam kalangan wanita tidak hamil tanpa menimbulkan risiko yang tinggi ataupun kesan-kesan sampingan.

Ciri-ciri kajian

Carian bukti dilakukan sehingga bulan Oktober 2017. Pencarian kami melibatkan 10 kajian klinikal dan disertai seramai 1656 peserta. Kajian tersebut berlangsung dalam tempoh antara tiga bulan hingga lima tahun. Dalam semua kajian ini, sekurang-kurangnya, dapatan keputusan makmal, sebagai kaedah diagnosis. Empat kajian membandingkan ubat suppositori faraj (ubat pepejal yang dimasukkan ke dalam faraj) atau tablet clotimazole (ubat antikulat) ditambah beberapa kapsul faraj probiotik dengan ubat supositori faraj atau ubat tablet clotimazole sahaja. Tiga kajian membandingkan ubat supositori faraj miconazole (ubat antikulat) ditambah kapsul faraj probiotik dengan ubat miconazole sahaja. Dua kajian membandingkan ubat fluconazole (ubat antikulat) secara oral. Kapsul probiotik serta fluconazole, kedua-dua ubat diambil secara oral. Juga kapsul plasebo (rawatan yang diolah) diambil secara oral. Satu kajian membandingkan ubat oral fluconazole dan fenticonazole faraj (ubat antikulat), dengan ubat oral fluconazole, juga dengan fenticonazole faraj dan probiotik.

Keputusan utama

Penggunaan ubat antikulat konvensional bersama probiotik sebagai terapi adjuvan mampu meningkatkan kadar keberkesanannya penyembuhan klinikal dalam jangka masa pendek (dalam tempoh lima hingga 10 hari), penyembuhan mikologi jangka pendek (tiada keputusan makmal yang abnormal) serta kadar kekambuhan dalam sebulan (masalah berulang) berbanding jika ubat antikulat konvensional digunakan secara kendiri. Namun, ia tidak mempengaruhi kadar penyembuhan klinikal jangka panjang (satu hingga tiga bulan), penyembuhan mikologi jangka panjang dan juga bagi kesan sampingan yang serius dan tidak serius.

Walau bagaimanapun, disebabkan kualiti bukti yang rendah, dapatan bukti tidak mencukupi bagi menyokong penggunaan probiotik sebagai adjuvan kepada ubat antikulat konvensional atau penggunaan kendiri probiotik berguna dalam merawat VVC dalam kalangan wanita tidak hamil.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah, oleh itu, keyakinan terhadap keputusan yang diberikan juga rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mahfuzah Mataha (MBBCh, Universiti Zagazig). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information