Latar belakang
Hanya satu dari setiap lima hingga sepuluh orang yang mengalami kesakitan perut kolik mempunyai batu di pundi hempedu atau saluran empedu biasa. Batu-batu hempedu ini boleh menyebabkan kolesistitis (keradangan pundi hempedu), kolangitis (jangkitan saluran empedu), abses hepatik (abses di hati), atau pancreatitis akut (jangkitan pankreas).
Ada teknik yang berbeza untuk menghilangkan batu; laparotomi standard (insisi pada abdomen), pembedahan laparoskopi, dan pembedahan endoskopik. Pembedahan laparoskopi, yang juga dikenali sebagai pembedahan invasif minima, adalah teknik pembedahan moden, di mana operasi perut dilakukan melalui instrumen yang panjang dan tegar, dimasukkan melalui insisi kecil (biasanya 0.5 hingga 1.2 cm) pada dinding perut. Endoskopi adalah istilah yang lebih umum, yang menggambarkan teknik yang membolehkan seorang doktor memeriksa bahagian dalam organ berongga, dengan memasukkan alat, secara umumnya fleksibel, melalui bukaan semulajadi badan. Untuk batu hempedu, endoskopi dilakukan menggunakan skop, dengan cahaya, melalui mulut dan ke saluran pencernaan, Doktor dapat melihat di mana saluran hempedu (hati, saluran hempedu, dan pankreas) bersambung dengan duodenum (permulaan usus kecil), yang memudahkan melalui tiub, di mana batu-batu dapat dialihkan. Suntikan medium kontras radiologi menyerlahkan saluran hempedu dan kandungannya. Prosedur ini dikenali sebagai cholangiopancreatography retrograde endoskopik (ERCP).
Laparotomi digunakan jika pembedahan laparoskopik dikontraindikasikan. Jika tidak, prosedur itu melibatkan dua peringkat: pertama, penyingkiran batu dari saluran hempedu secara endoskopik, diikuti dengan kolesistektomi laparoskopik (pembuangan pundi hempedu). Prosedur endoskopik dan laparoskopi yang digabungkan, yang dikenali sebagai teknik pencapaian laparoskopi-endoskopik, telah dikaitkan dengan kesan buruk yang kurang, kurang ketidakselesaan pesakit, dan penginapan hospital yang lebih pendek.
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini membandingkan manfaat dan kemudaratan prosedur-prosedur pertemuan laparoskopi-endoskopi berbanding sfinkterotomi endoskopik pra-operasi (memotong otot antara saluran hempedu dan saluran pankreas) diikuti oleh kolisistektomi laparoskopik untuk membuang batu dari hempedu dan saluran hempedu. Dengan mencari pangkalan data saintifik dan daftar kajian, kami mendapati lima kajian klinikal rawak yang membandingkan dua pendekatan tersebut, dan melibatkan sejumlah 516 peserta. Majoriti peserta adalah perempuan dan umur lelaki dan wanita adalah dari 21 tahun hingga 87 tahun.
Pembiayaan
Hanya satu kajian menyatakan mereka tidak mendapat tajaan industri atau sokongan untuk keuntungan yang lain. Tiada satu pun daripada kajian lain yang mendedahkan maklumat mengenai pembiayaan. Tiga kajian menyatakan penyiasat tidak mempunyai kepentingan yang bersaing; dua lagi kajian tidak memberikan maklumat tentang kepentingan bersaing.
Keputusan utama
Pendekatan pertemuan endoskopik-endoskopik boleh dikaitkan dengan kadar morbiditi keseluruhan dan pankreatitis klinikal selepas pembedahan, dan penginapan hospital yang lebih pendek. Kami mendapati tiada perbezaan yang jelas dalam keseluruhan kematian antara kedua-dua teknik. Jumlah masa pembedahan lebih lama dengan pendekatan pertemuan.
Kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh kerana kekurangan data. Kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan sama ada pendekatan satu peringkat lebih selamat dan lebih berkesan dari pendekatan dua peringkat, dan untuk menangani isu penting lain, seperti kualiti hidup dan analisis kos.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah, kerana bilangan peserta yang kecil, risiko berat sebelah yang tinggi, dan keputusan yang tidak konsisten dan tidak tepat dalam kajian. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2017.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini sila hubungi hayatikk@usm.my