‘Telerehabilitation’ untuk orang dengan sklerosis multipel

Soalan ulasan

Adakah ‘telerehabilitation’ mencapai hasil lebih baik dalam kalangan orang dengan sklerosis multipel berbanding intervensi bersemuka tradisional? Apakah jenis intervensi ‘telerehabilitation’ yang berkesan, dalam persekitaran apa dan mempengaruhi hasil spesifik yang mana?

Latar belakang

Sklerosis multipel (MS) ialah penyakit sistem saraf yang lazim dalam kalangan orang dewasa muda, tiada ubat dan menyebabkan hilang upaya jangka panjang. Rehabilitasi menyediakan rawatan dan terapi untuk mengurangkan impak sebarang hilang upaya dan memperbaiki fungsi. Walaupun terdapat kemajuan terkini dalam penjagaan MS termasuk rehabilitasi, ramai orang dengan MS tidak dapat mengakses perkembangan ini kerana pergerakan yang terhad, keletihan dan isu-isu yang berkaitan, dan kos berkaitan dengan perjalanan. ‘Telerehabilitation’ adalah pendekatan terbaru untuk menyampaikan program rehabilitasi di rumah pesakit atau di dalam komuniti, menggunakan teknologi telekomunikasi seperti talian telefon, teknologi video, aplikasi internet dan lain-lain. Pelbagai intervensi ‘telerehabilitation’ dikaji dalam kalangan orang dengan sklerosis multipel, walau bagaimanapun, bukti keberkesanannya masih tidak jelas.

CIri-ciri kajian

Ulasan ini mencari bukti bagaimana intervensi ‘telerehabilitation’ berfungsi dalam kalangan dewasa dengan MS. Kami mencari dengan meluas kajian-kajian rawak terkawal (RCT), sejenis kajian di mana peserta ditempatkan dalam kumpulan rawatan secara kebetulan (iaitu, secara rawak) kerana dalam kebanyakan persekitaran ia memberi bukti berkualiti tertinggi. Kami berminat dengan kajian yang membandingkan program ‘telerehabilitation’ dengan penjagaan standard atau minimum, atau dengan program rehabilitasi jenis lain.

Keputusan utama

Kami menemui sembilan RCT yang relevan melibatkan 531 peserta (469 disertakan dalam analisis), yang menilai pelbagai intervensi ‘telerehabilitation’ dalam kalangan orang dengan MS. Intervensi ‘telerehabilitation’ yang dinilai adalah kompleks, dengan lebih dari satu komponen rehabilitasi dan menyertakan program aktiviti fizikal, pendidikan, tingkah laku dan pengurusan simptom. Intervensi-intervensi ini mempunyai tujuan yang berbeza dan menggunakan teknologi yang berbeza, maka satu kesimpulan pasti keseluruhan adalah tidak mungkin. Kualiti metodologi kajian-kajian yang disertakan adalah rendah dan berbeza antara kajian-kajian.

Kualiti bukti

Terdapat bukti ‘berkualiti rendah’ dari RCT yang disertakan untuk menyokong manfaat ‘telerehabilitation’ dalam mengurangkan hilang upaya jangka pendek dan mengurus simptom seperti keletihan dalam kalangan dewasa dengan MS. Kami temui bukti terhad untuk menyokong manfaat intervensi ‘telerehabilitation’ dalam memperbaiki hilang upaya, mengurangkan simptom dan memperbaiki kualiti hidup jangka panjang. Tambahan pula, intervensi dan hasil yang disiasat dalam kajian-kajian yang disertakan adalah berbeza antara satu sama lain. Tiada kajian melaporkan sebarang mudarat yang serius dari ‘telerehabilitation’ dan tiada maklumat tentang kos yang berkaitan.

Penyelidikan lanjut perlu untuk menilai kesan pelbagai teknik ‘telerehabilitation’ dan menentukan keberkesanan klinikal dan kos intervensi-intervensi ini dalam kalangan orang dengan MS. Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Julai 2014.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information