Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang keberkesanan pendidikan kesihatan oral untuk kakitangan atau penghuni rumah penjagaan berbanding penjagaan biasa untuk meningkatkan kesihatan oral
Latarbelakang
Penghuni rumah penjagaan seringkali tidak dapat menjalankan penjagaan oral yang sempurna, yang merupakan faktor penting bagi mengekalkan kesihatan mulut, gigi dan gusi. Kakitangan rumah penjagaan mungkin tidak bersedia untuk memberi penjagaan yang secukupnya. Oleh itu, pendidikan kesihatan oral untuk penghuni dan/atau kakitangan rumah penjagaan boleh menjadi salah satu cara untuk memperbaiki keadaan ini.
Ciri kajian
Kami mencari kajian-kajian yang berkaitan yang telah dijalankan sehingga Januari 2016 dan mengenalpasti sembilan kajian melibatkan 3253 penghuni rumah penjagaan. Purata umur penghuni dalam kajian-kajian tersebut adalah antara 78 hingga 86 tahun. Di dalam kesemua kajian, kebanyakan peserta yang mengambil bahagian memakai gigi palsu (antara 62% hingga 87%)
Kajian menilai pelbagai pendekatan termasuk program pendidikan, latihan kemahiran dan bahan maklumat bertulis. Tajuk-tajuk yang dinilai termasuk masalah pergigian berkaitan orang tua seperti penjagaan gigi palsu. Hal ini turut meliputi penyakit gigi dan oral, pencegahan penyakit oral, alat penjagaan pergigian, dan garispanduan penjagaan kesihatan oral. Jangkamasa kajian adalah di antara tiga bulan hingga lima tahun.
Keputusan utama
Kami tidak dapat mengenapasti manfaat yang jelas hasil melatih jururawat dan/atau penghuni tentang kesihatan gigi penghuni berdasarkan penilaian terhadap plak gigi dan gigi palsu. Tiada kajian yang menilai kesihatan oral, kualiti kehidupan berkaitan dengan kesihatan oral atau masalah lain berkaitan kesihatan oral. Oleh kerana program pendidikan tidak diterangkan sepenuhnya, keputusan tidak membolehkan kesimpulan yang jelas tentang keberkesanan atau mudarat yang mungkin daripada intervensi pendidikan kesihatan oral di rumah penjagaan.
Kualiti bukti
Secara keseluruhan, maklumat daripada keputusan kajian-kajian tersebut adalah berkualiti rendah. Kami membuat kesimpulan bahawa kajian klinikal diperlukan untuk menyiasat kebaikan dan mudarat program pendidikan kesihatan oral di rumah penjagaan.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Wan Nor Arifin (Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my