Ubat-ubatan herba Cina bagi merawat keguguran berulang yang tidak diketahui puncanya

Keguguran berulang telah didefinisikan sebagai keguguran yang terjadi secara spontan sebanyak dua, tiga, atau lebih secara berturut-turut yang terjadi di awal kehamilan, perkara ini berlaku ke atas sebilangan kecil wanita (1% hingga 3%) pada usia reproduksi (subur). Ramai wanita hamil mungkin tidak menyedari keguguran tersebut sehinggalah mereka mengalami pendarahan daripada rahim dan kekejangan selepas minggu ke-10 kehamilan. Terdapat risiko berlaku keguguran berulang selepas kehilangan kehamilan pertama dan peluang untuk mendapatkan kehamilan yang berjaya adalah berbagai. Beberapa keguguran berulang mempunyai penyebab yang diketahui, seperti faktor ibu dan janin; dalam kes seperti ini rawatan khusus yang menyasarkan penyebab-penyebab ini berkesan bagi mengelakkan keguguran berulang. Walau bagaimanapun, terdapat keguguran yang penyebabnya mungkin tidak dapat dikenal pasti dan kebanyakan keguguran berulang tidak dapat dijelaskan penyebabnya. Tidak ada cadangan universal untuk rawatan keguguran berulang yang tidak dapat dijelaskan sebabnya. Ubat-ubatan herba Cina telah digunakan secara meluas di negara-negara Asia sejak berabad lamanya dan telah menjadi terapi alternatif yang popular di negara-negara Barat sejak kebelakangan ini. Banyak kajian klinikal melaporkan bahawa ubat-ubatan herba Cina dapat meningkatkan kehamilan dan kadar kelahiran hidup dengan mencegah keguguran dan membantu perlanjutan kandungan.

Formula ubat herba Cina yang berbeza (Shou Tai Pill, Yangxi Zaitai Decoction, Bushen Antai Decoction dan beberapa formula yang diubah suai) telah digunakan dalam kajian-kajian tersebut. Formula asasnya kebanyakannya mengandungi beberapa ubat-ubatan herba Cina yang biasa (Chinese Dodder Seed, Chinese Taxillus Twig, Himalayan Teasel Root, Largehead Atractylodes Rhizome, Donkey-hide Glue, Eucommia Bark, Tangerine Peel, Szechwon Tangshen Root, White Paeony Root, Baical Skullcap Root, Akar Milkvetch Mongolia, Angelica Cina, dan lain-lain). Ubat-ubatan farmaseutikal Barat termasuklah ubat tokolitik seperti salbutamol dan magnesium sulfat, suplemen hormon seperti hormon korionik gonadotrophin , progesteron atau dydrogesteron, dan suplemen sokongan seperti vitamin E, vitamin K dan asid folik.

Kami mencari bukti pada 1 Jun 2015 dan mendapati sembilan kajian (861 wanita) dilakukan untuk menilai keberkesanan intervensi. Semua metodologi dalam kajian tersebut adalah lemah dan secara keseluruhan mempunyai risiko bias yang tidak jelas. Tiada kajian yang menggunakan plasebo, tidak ada rawatan atau ‘bed rest’ sebagai intervensi kawalan. Satu kajian mengkaji keberkesanan psikoterapi berbanding dengan herba Cina.

Apabila ubat-ubatan herba Cina diberikan bersama dengan ubat-ubatan lain, ubat-ubatan herba ini dikaitkan dengan kadar kelangsungan kandungan yang lebih tinggi melebihi 20 minggu (92.1% berbanding 72.0%, daripada dua kajian, yang melibatkan 189 wanita) dan kelahiran hidup (79.7% berbanding 44.2% daripada enam kajian, melibatkan 601 wanita) berbanding dengan menggunakan ubat-ubatan lain sahaja. Tiada perbezaan bagi kadar kelahiran hidup apabila dibandingkan penggunaan ubat-ubatan herba Cina sahaja dan ubat-ubatan lain sahaja (dalam satu kajian, melibatkan 80 wanita). Tiada perbandingan kadar kehamilan berterusan dalam kajian ini. Berbanding dengan psikoterapi sahaja, kadar kelahiran hidup lebih tinggi dalam kalangan kumpulan wanita yang menerima gabungan ubat-ubatan herba Cina dan psikoterapi (91.1% berbanding 68.9%).

Sebilangan besar kajian tidak melaporkan sebarang maklumat mengenai kesan buruk kepada ibu atau bayi. Hanya dua kajian (melibatkan 341 wanita) melaporkan bahawa tidak ada kesan buruk ke atas ibu yang ditemui (satu kajian yang membandingkan (gabungan) ubat-ubatan dengan ubat-ubatan lain, dan satu kajian membandingkan gabungan ubat-ubatan herba Cina sahaja berbanding ubat-ubatan lain sahaja). Hanya satu kajian (membandingkan ubat-ubatan herba Cina sahaja berbanding ubat-ubatan lain sahaja) melaporkan bahawa tidak ada bayi yang tidak normal sama ada sebelum atau selepas bersalin.

Tidak ada kajian yang mencatatkan limitasi dalam laporan kajian masing-masing. Tidak jelas ubat-ubatan herba Cina yang mana satu atau kombinasi ubat-ubatan mana yang berkesan.

Berdasarkan diagnosis dan klasifikasi perubatan Cina yang unik, persediaan (formula) mungkin berbeza mengikut jenis-jenis keguguran berulang. Sebilangan besar pengamal perubatan Cina mengubah suai preskripsi tradisional bergantung kepada keadaan klinikal individu. Sebilangan ubat-ubatan herba diubah suai daripada formula tradisional untuk rawatan. Oleh itu, kesimpulan bagi keberkesanan dalam kajian kami hanya dapat menunjukkan kesan keseluruhan ubat-ubatan herba Cina pada keguguran berulang secara umum. Kesimpulannya, gabungan ubat-ubatan herba Cina dan ubat-ubatan lain kelihatan lebih bermanfaat daripada ubat-ubatan lain semata-mata untuk keguguran berulang yang tidak dapat dijelaskan, tetapi bukti keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan herba Cina sahaja sebagai rawatan tidak jelas.

Kami tidak menemui data untuk menilai keselamatan dan ketoksikan intervensi ini untuk wanita dan bayi mereka, dan tidak ada data untuk keputusan lain bagi ibu dan bayi. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk menilai sepenuhnya kegunaan ubat-ubatan herba Cina untuk keguguran berulang yang tidak dapat dijelaskan puncanya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information