Adakah pesakit yang mengalami kematian jantung secara tiba-tiba perlu disejukkan sebelum atau selepas dimasukkan ke hospital bagi merendahkan suhu badan?

Soalan sorotan

Kami mengulas bukti terkini yang sedia ada bagi menjawab soalan sama ada penyejukan awal bagi orang yang menerima asas bantuan hayat untuk kematian jantung secara tiba-tiba mempunyai kesan ke atas kelangsungan hidup dan kerosakan otak berbanding dengan penyejukan yang dimulai selepas kemasukan ke hospital. Penyejukan awal bermaksud penyejukan keatas seseorang dengan segera oleh anggota ambulan, paramedik atau doktor di lapangan Kami memasukkan tujuh kajian yang menepati keperluan Cochrane dalam ulasan ini.

Latar belakang

Populasi

Sorotan ini adalah berkenaan orang yang menerima bantuan hayat asas untuk kematian jantung secara tiba-tiba. Kematian jantung secara tiba-tiba bermaksud jantung dan seterusnya aliran darah terhenti. Sekiranya mereka tidak menerima resusitasi kardiopulmari awal, maka sel-sel otaknya mula mengalami kerosakan kekal dan seterusnya mereka mati. Sekiranya bantuan hayat asas berjaya, salah satu rawatan yang mungkin membantu bagi mengelakkan kerosakan sel selanjutnya adalah dengan menyejukkan suhu badan untuk beberapa jam daripada 32C kepada 36C. Rawatan ini terbukti bermanfaat dalam mengurangkan kerosakan otak dan disyorkan dalam garispanduan antarabangsa untuk rawatan orang yang hidup kembali setelah kematian jantung secara tiba-tiba.

Intervensi

Masa optima bagi memulakan penyejukan adalah tidak jelas. Sorotan ini membandingkan orang yang mana rawatan penyejukan mereka dimulai sebelum dimasukkan ke hospital dengan mereka yang mana rawatan penyejukan dimulai setelah dimasukkan ke hospital.

Hasil

Kesan intervensi ini diukur melalui kelangsungan hidup dan kerosakkan otak, bersama kesan sampingan lain, kualiti hidup, dan tempoh tinggal hospital.

Tarikh carian

Kami menyelesaikan carian sorotan pada Mac 2015.

Ciri-ciri kajian

Ketujuh-tujuh kajian melibatkan sejumlah 2369 peserta dan membandingkan kesan penyejukan sebelum dan selepas dimasukkan ke hospital. Purata umur peserta dalam kajian-kajian ini adalah antara 59 dan 68 tahun dengan majoritinya lelaki. Orang yang tidak dimasukkan dalam kajian-kajian adalah secara umumnya mereka yang terlibat dalam trauma, mereka yang mempunyai penyakit terminal, mereka yang mengakhiri hayat secara semula jadi, wanita mengandung, dan mereka yang mempunyai suhu badan yang rendah.

Sumber-sumber pembiayaan kajian

Dua dalam tujuh kajian dibiayai oleh industri perubatan, empat menerima pembiayaan daripada kerajaan atau organisasi yang tidak berlandaskan keuntungan, dan satu kajian tidak menerima apa-apa pembiayaan.

Keputusan utama

Tidak ada kajian yang menjumpai sebarang bukti manfaat penyejukan pra-hospital berbanding dengan penyejukan dalam hospital. Walau bagaimanapun, kami mendapati dalam hampir kesemua kajian, terdapat sejumlah peserta berkaitan tidak menerima penyejukan pra-hospital atau penyejukan dalam hospital atau penyejukan yang berdasarkan garispanduan sama sekali. Alasan-alasan untuk ini tidak berapa jelas. Persoalan sama ada keputusan untuk menyejukkan peserta mungkin terkesan oleh faktor-faktor lain yang tidak dapat dijawab secara pasti. Rekabentuk yang sempurna dan jalankerja kajian-kajian adalah masalah utama, oleh itu untuk mengelakkan interpretasi yang tidak betul kami tidak menyatukan hasil-hasil kajian. Kami mendapati bahawa jantung orang dewasa yang menerima penyejukan pra-hospital lebih berkemungkinan untuk berhenti semula sebelum mereka dimasukkan ke hospital.

Kualiti bukti

Banyak kajian yang dimasukkan mempunyai kegunaan yang terhad kerana mengfokus kepada praktikaliti dan keselamatan penyejukan pra-hospital tanpa penekanan khusus terhadap rawatan penyejukan. Faktor-faktor lain yang memberi kesan kepada penurunan kualiti bukti adalah maklumat daripada populasi kajian yang berbeza dan perbezaan masa memulakan penyejukan pra-hospital. Tambahan pula, ada risiko berat sebelah dalam kajian-kajian tersebut. Kualiti kajian-kajian tersebut adalah sederhana. Kesimpulannya, kualiti bukti untuk menjawab soalan sorotan kami adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi hairulnizam@usm.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information