Pelbagai strategi terapi cecair untuk rawatan sepsis dan kejutan septik.

Soalan ulasan

Kami berhasrat menyelidik sama ada terapi cecair liberal lebih bermanfaat atau lebih memudaratkan berbanding terapi cecair konservatif dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak dengan sepsis ataupun kejutan septik. Kami menilai pelbagai kesan kedua-dua intervensi untuk risiko kematian dan kejadian kesan-kesan buruk.

Latar belakang

Sepsis dan kejutan septik adalah komplikasi kepada jangkitan. Pesakit-pesakit di unit rawatan intensif (ICU) lebih cenderung dipengaruhi dengan keadaan ini berbanding pesakit-pesakit yang lain. Sesetengah pesakit boleh mengalami disfungsi organ yang membawa maut. Terapi cecair sering diguna sebagai intervensi penting untuk merawat sepsis awal dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak.

Keputusan-keputusan

Kami mencari pangkalan data electronik pada 16 Januari 2018. Kami tidak menemui kajian-kajian melibatkan orang dewasa yang menepati kriteria kemasukan. Kami memasukkan tiga kajian yang melibatkan 3402 kanak-kanak. Kami mengenal pasti tiga kajian ‘sedang dijalankan’ yang belum diterbitkan lagi. Keputusan-keputusan yang dikumpul dari dua kajian (melibatkan 3288 kanak-kanak) menunjukkan terapi cecair liberal dapat meningkatkan risiko kematian di hospital sebanyak 38% dan risiko kematian empat minggu susulan sebanyak 39%. Ini bermakna bagi setiap 34 kanak-kanak yang menerima terapi cecair, lebih satu lagi kematian di hospital lagi akan berlaku dalam kumpulan terapi cecair liberal berbandinig kumpulan terapi cecair konservatif. Begitu juga dengan susulan empat minggu, lebih satu kematian lagi akan berlaku dalam kumpulan terapi cecair liberal berbanding kumpulan terapi cecair konservatif bagi setiap 29 kanak-kanak yang menerima terapi cecair. Satu kajian kecil melaporkan keputusan-keputusan tidak muktamad tentang risiko kematian di hospital. Kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam kesan buruk (hepatomegali, keperluan ventilasi, tindakbalas alahan dan kesan-kesan neurologi) di antara pesakit-pesakit yang menerima terapi cecair liberal berbanding terapi cecair konservatif.

Satu kajian (melibatkan 101 kanak-kanak) melaporkan terapi cecair konservatif dapat mengurangkan tempoh tinggal di ICU dan tempoh ventilasi. Walau bagaimanapun, kami tidak begitu yakin dalam keputusan ini kerana saiz sampel kajian yang kecil. Kami tidak mendapati kajian-kajian dalam kalangan orang dewasa dengan sepsis atau kejutan septik.

Kesimpulan

Bukti berkualiti rendah hingga tinggi menunjukkan terapi cecair liberal mungkin meningkatkan kadar kematian kanak-kanak dengan sepsis atau kejutan septik. Selain penemuan ini, kami tidak pasti tentang kesan-kesan terapi cecair liberal berbanding terapi cecair konservatif terhadap risiko kejadian buruk. Kami juga tidak pasti tentang kesan-kesan kedua-dua intervensi ini dalam kalangan dewasa dengan sepsis atau kejutan septik kerana kekurangan data. Kajian-kajian masa hadapan haruslah memfokuskan sepsis atau kejutan septik orang dewasa dalam persekitaran lain, dengan julat patogen yang lebih meluas. Sebaik sahaja tiga kajian 'yang sedang dijalankan’ diterbitkan dan dinilai, kajian-kajian tersebut mungkin dapat mengubah kesimpulan ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information