Larutan kekunci antimikrobial untuk mencegah jangkitan dalam kalangan pesakit yang menggunakan kateter untuk hemodialisis

Apakah isunya?

Kebanyakan orang dengan penyakit buah pinggang terminal menggunakan hemodialisis (HD) untuk menggantikan fungsi buah pinggang. Lazimnya, kateter vena pusat (CVC) diperlukan untuk memulakan HD. Di antara sesi HD, CVC memerlukan larutan pengapan untuk mengelakkan trombosis kateter (obstruksi akibat klot), dan lazimnya adalah heparin.

Selain trombosis kateter, satu lagi komplikasi yang kerap ialah jangkitan berkaitan dengan kateter (CRI). CRI berasal dari kateter dan kemudian merebak ke darah atau organ lain.

Heparin menghalang pembentukan klot tetapi tidak mencegah jangkitan. Oleh itu, selain heparin, penggunaan larutan pengap yang dapat mengurangkan CRI telah dicadangkan. Larutan kekunci antimikrobial boleh dibahagikan kepada larutan antibiotik (seperti vancomycin) dan bukan antibiotik (seperti sitrat). Larutan kekunci antimikrobial harus memenuhi lumen kateter dan kemudian dikunci dalam kateter semasa sesi-sesi di antara HD di dalam heparin atau tanpa heparin.

Apa yang kami lakukan?

Kami melakukan ulasan sistematik untuk menilai sama ada larutan kekunci antimikrobial (antibiotik atau bukan antibiotik) lebih baik daripada heparin untuk mencegah CRI dalam kalangan pesakit yang menjalani HD melalui CVC dan trombosis berbanding heparin. Kami mencari kesusasteraan sehingga 18 Disember 2017 dan mengenal pasti 39 kajian yang mendaftarkan 4216 pesakit yang memenuhi kriteria kemasukan kami.

Apakah yang kami dapati?

Kami memasukkan 39 kajian, termasuk 3,945 peserta yang sedang menjalani HD melalui CVC. Kajian-kajian tersebut membandingkan larutan pengap CVC dengan heparin kepada larutan kekunci antimikrobial. Lima belas kajian hanya menggunakan larutan kekunci antibiotik, 21 menhggunakan larutan kekunci bukan antibiotik, dan 4 menggunakan kedua-dua larutan kekunci antibiotik dan bukan antibiotik. Kajian-kajian tersebut mengukur insiden CRI dan trombosis kateter, atau kedua-duanya. Kualiti keseluruhan kajian adalah rendah untuk CRI dan sangat rendah untuk trombosis. Tiada maklumat mengenai sumber pembiayaan bagi kebanyakan kajian.

Secara umumnya, larutan kekunci antimikrobial mungkin lebih baik daripada larutan standard dalam mencegah CRI dalam kalangan pesakit yang menjalani HD melalui CVC, tetapi larutan bukan antibiotik tidak mengurangkan CRI. Mereka tidaklah lebih buruk berbanding heparin dalam mencegah trombosis. Kesan buruk lain tidak dilaporkan dalam kebanyakan kajian. Keyakinan kami terhadap keputusan ini rendah kerana kualiti kajian.

Kesimpulan

Beberapa larutan kekunci antimikrobial (antibiotik dan gabungan antibiotik-bukan antibiotik) mengurangkan kejadian CRI berbanding heparin. Kesannya terhadap ketelapan CVC masih tidak jelas. Kualiti kajian-kajian adalah rendah dan sangat rendah; Oleh itu, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan manfaat dan mudarat larutan kekunci antimikrobial.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information