Apakah matlamat ulasan ini?
Kami ingin membandingkan kesan ubat yang berbeza untuk merawat orang dengan jangkitan Ascaris. Albendazole dan mebendazole paling lazim diguna untuk merawat ascariasis. Ivermectin juga boleh diguna. Kami ingin tahu apakah pilihan antara ubat-ubatan ini untuk membasmi cacing dan telurnya dalam sampel najis. Kami memasukkan 30 kajian yang relevan.
Mesej utama
Dos tunggal mebendazole, albendazole, dan ivermectin berkesan terhadap jangkitan Ascaris lumbricoides, menghasilkan penyembuhan parasitologi yang tinggi tanpa sebarang perbezaan yang dikesan di antaranya. Tiada kesan sampingan yang serius ditemui.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Ascaris lumbricoides, juga dikenal sebagai cacing gelang, adalah cacing penularan tanah yang boleh menjangkiti orang. Ascariasis adalah lazim di seluruh dunia dan mempengaruhi terutamanya kanak-kanak yang tinggal di kawasan berpendapatan rendah. Intervensi terhadap ascariasis termasuklah memperbaik air dan sanitasi, pendidikan kesihatan, dan rawatan perubatan untuk individu yang dijangkiti. Rawatan dengan ubat menyingkirkan cacing dewasa dari saluran gastrousus, mengurangkan morbiditi (penyakit) dan penularan jangkitan. Walaupun terdapat banyak ubat untuk merawat orang yang mempunyai cacing (ubat antelmintik), rejimen yang paling berkesan dan dos yang optimum tidak diketahui. Kami menilai kajian-kajian yang membandingkan penggunaan ubat antelmintik dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak, sebagai terapi tunggal atau gabungan, dan dalam rejimen dos tunggal atau multipel.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menyertakan 30 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), melibatkan 6442 kanak-kanak dan dewasa berusia dari 28 hari hingga 82 tahun, dengan jangkitan Ascaris. Dua puluh kajian dibiaya atau dibiaya bersama oleh pengeluar (yang mungkin menimbulkan bias), sementara 10 kajian bebas dari pembiayaan pengeluar.
Penyembuhan parasitologi mungkin enam kali ganda lebih kerap dalam kalangan orang yang menerima ubat antelmintik berbanding orang yang menerima plasebo (rawatan tanpa bahan aktif) (bukti kepastian sederhana).
Tiada perbezaan penyembuhan ascariasis antara dos tunggal albendazole dengan dos tunggal mebendazole atau ivermectin; dan tiada perbezaan di antara albendazol dos tunggal berbanding dos multipel..
Tiada kesan sampingan serius dilaporkan. Kejadian kesan sampingan lain (merasa sakit, sakit, diarea, perut tidak selesaan, sakit kepala, demam) mungkin tidak lazim di antara ubat-ubatan antelmintik yang dibandingkan (bukti kepastian sederhana hingga rendah).
Adakah ulasan ini mutakhir?
Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 4 Julai 2019.
Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my