Adakah intervensi perubatan mengurangkan keretakan tulang berkaitan radiasi dan risiko nekrosis avaskular di kalangan dewasa yang menjalani radioterapi pelvis?

Apakah isunya?
Penyelidikan menunjukkan radioterapi pelvis boleh menyebabkan perubahan dalam tulang pelvis, mengakibatkan kepatahan berpunca dari trauma minima (dipanggil keretakan tulang) dan kerosakan kekal pada tulang berikutan bekalan darah yang terganggu (dipanggil nekrosis avaskular). Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan, susah bergerak, dimasukkan ke hospital, keperluan untuk pembedahan dan kematian. Ulasan ini meneliti penulisan perubatan berkaitan ubat-ubatan yang diberikan sebelum atau ketika radioterapi pelvis, untuk menentukan sama ada ini boleh mengurangkan kejadian keretakan tulang dan nekrosis avaskular, dan menambahbaik kesihatan tulang serta kualiti kehidupan.

Bagaimanakah kami menjalankan ulasan ini?
Kami mencari penulisan perubatan sehingga April 2017 berkaitan kajian intervensi yang bertujuan mencegah kepatahan dan nekrosis avaskular pada orang yang menjalani rawatan radioterapi sebagai sebahagian rawatan kanser, dengan tujuan untuk mengumpul data dari kajian berbeza jika perbandingan kajian adalah serupa.

Apakah bukti yang kami temui?
Kami menemui dua kajian di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan (dipanggil kajian rawak terkawal) yang cukup relevan dengan topik ulasan. Kedua-dua kajian, yang melibatkan 1167 peserta keseluruhannya, dijalankan pada lelaki yang menjalani radioterapi untuk kanser prostat dan menilai ubat bisfosfonat yang dipanggil asid zoledronik. Lelaki-lelaki ini juga menerima rawatan hormon untuk masalah seperti penurunan ketumpatan mineral tulang (BMD; berapa banyak mineral yang terdapat dalam tulang, yang menentukan kepadatan dan kekuatan tulang) adalah kesan sampingan yang diketahui daripada rawatan ini. Kajian mengukur dan melaporkan hasil berbeza dan kami tidak dapat mengumpulkan keputusan mereka (data); namun, bukti terhad menunjukkan bahawa asid zoledronik boleh menambahbaik BMD dalam kumpulan tertentu ini (lelaki dengan kanser prostat) yang menerima kedua-dua rawatan hormon dan radioterapi. Terdapat beberapa kejadian kepatahan atau nekrosis avaskular dalam kajian, oleh itu tidak pasti sama ada asid zoledronik mempunyai kesan pada hasil-hasil penting ini. Oleh sebab kajian-kajian ini tidak direka khas untuk menilai kesan asid zoledronik pada hasil tulang yang berkaitan dengan radioterapi, dan peserta juga menerima rawatan hormon, adalah sangat tidak pasti sama ada bukti ini terpakai kepada orang yang menjalani radioterapi pelvis untuk kanser lain dan orang yang tidak menerima terapi hormon tambahan.

Kedua-dua kajian berada pada risiko bias sederhana hingga tinggi dan semua bukti dinilai sebagai sangat rendah kepastian.

Apakah maksudnya?
Tiada bukti yang mencukupi bahawa asid zoledronik dan ubat-ubatan lain mencegah komplikasi tulang yang disebabkan radioterapi. Ulasan ini menunjukkan keperluan untuk kajian klinikal menggunakan intervensi sebelum dan semasa radioterapi untuk mengelakkan morbiditi tulang berkaitan radiasi, keretakan tulang dan nekrosis avaskular.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch’ng Chyi Yang (RUMC). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information