Apakah jangkitan kulit dan tisu lembut?
Jangkitan kulit dan tisu lembut (SSTI) adalah jangkitan biasa pada kulit atau tisu di bawah kulit. Jangkitan ini merangkumi impetigo, abses, selulitis, erysipelas, jangkitan kulit nekrotik (pembunuhan daging), jangkitan yang disebabkan oleh gigitan haiwan atau manusia atau melalui sentuhan haiwan, dan jangkitan selepas pembedahan.
Sebilangan besar SSTI tidak memerlukan rawatan, dan sembuh secara sendirinya. Beberapa SSTI lebih serius dan boleh mengancam nyawa, dan ini memerlukan rawatan perubatan.
Apakah ubat herba Cina?
Ubat-ubatan herba Cina kebanyakannya adalah ekstrak tumbuh-tumbuhan, atau bahagian tanaman, yang digunakan secara individu, atau digabungkan, sebagai ubat. Ubat-ubatan tradisional ini telah digunakan di China selama berabad-abad, dan doktor-doktor China pada masa ini menetapkannya untuk merawat SSTI.
Apakah sebab mengguna ubat herba Cina untuk SSTI?
Di negara-negara Barat antibiotik digunakan untuk merawat SSTI, namun kos antibiotik mahal, boleh menyebabkan kemudaratan (kesan sampingan) dan juga manfaatnya, tidak sesuai untuk semua orang, dan menjadi kurang berkesan apabila kuman mulai mengalami ketahanan terhadap jangkitan. Rawatan alternatif perlu dikenal pasti, dan ubat-ubatan herba Cina mungkin dapat memberikan alternatif tersebut.
Tujuan ulasan ini
Kajian ini bertujuan untuk melihat sama ada penyelidikan perubatan menunjukkan ubat-ubatan herba Cina adalah rawatan berkesan untuk SSTI. Kami ingin membandingkan penggunaan ubat-ubatan herba Cina dengan rawatan lain, atau rawatan plasebo, untuk melihat keputusan kajian yang menghasilkan hasil lebih baik bagi pesakit dalam jenis kajian perubatan tertentu yang disebut 'percubaan terkawal secara rawak'.
Penemuan ulasan
Kami tidak dapat menemui ujian terkawal secara rawak yang membandingkan penggunaan ubat herba Cina untuk merawat SSTI dengan rawatan lain atau plasebo. Oleh itu, kami tidak dapat menyokong atau membantah penggunaan ubat-ubatan herba Cina untuk merawat SSTI.
Di masa depan, kami berharap ujian terkawal secara rawak akan dijalankan untuk menilai faedah dan kesan sampingan ubat-ubatan herba Cina berbanding dengan amalan semasa untuk rawatan SSTI. Percubaan ini akan membantu orang dan doktor untuk memutuskan cara terbaik untuk merawat SSTI.
Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my