Soalan ulasan: Kami telah menkaji bukti-bukti mengenai penggunaan adrenalin dengan lignocaine dalam pembedahan jari tangan dan kaki.
Latar belakang: Pembedahan jari-jari tangan dan kaki biasanya dijalankan terhadap individu-individu dengan menggunakan anestesia atau bius setempat. Adrenalin digunakan dengan anestetik setempat untuk melanjutkan kesan anestesia. Namun begitu, penggunaan adrenalin di bahagian badan yang mengandungi arteri hujung, yakni, arteri yang merupakan penyalur darah tunggal kepada satu-satu organ, misalnya jari-jari tangan dan kaki harus dilakukan dengan berhati-hati. Adrenalin boleh mengecutkan arteri-arteri berkenaan dan mengurangkan bekalan darah kepada organ-organ terbabit dan menyebabkan komplikasi. Kami ingin mengenal pasti sama ada terdapat bukti untuk menyokong pendapat tadi.
Ciri-ciri kajian: Bukti adalah terkini sehingga November 2014. Kami memasukkan kajian-kajian terhadap pesakit kanak-kanak (yang berumur antara 28 hari dan 18 tahun) dan dewasa (yang berumur 18 tahun ke atas) lelaki dan perempuan. Pesakit-pesakit tersebut menjalani pembedahan digit-digit (jari-jari tangan dan kaki) dengan bius setempat menggunakan adrenalin dan lidocaine.
Keputusan utama: Kami menemukan empat kajian yang menepati kriteria dengan melibatkan 167 peserta.
Satu kajian kecil melaporkan tempoh anestesia atau bius dan mendapati bahawa adrenalin melanjutkan tempoh anestesia, namun kualiti bukti tersebut adalah rendah.
Tiada kajian yang melaporkan kesan sampingan seperti iskemia tisu dibahagian hujung tempat suntikan, atau analisis kos penggunaan adrenalin dengan lidocaine.
Tempoh kelegaan daripada kesakitan selepas pembedahan telah dilaporkan oleh satu kajian, namun data yang ada tidak mencukupi bagi analisa.
Dua kajian melaporkan pengurangan pendarahan semasa pembedahan apabila adrenalin dengan lidocaine digunakan. Berdasarkan kepada keputusan ini, kami menjangkakan bahawa 17.2 daripada 100 pesakit yang menerima adrenalin dengan lidocaine (antara 8.7 dan 29.8 pesakit) akan mengalami kurang pendarahan semasa pembedahan, berbanding dengan 49 pesakit yang menerima lidocaine sahaja. Namun begitu, kualiti bukti tersebut adalah rendah, dan besar kemungkinan kajian-kajian seterusnya akan mempengaruhi jangkaan tersebut.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah rendah bagi tempoh anestesia atau bius dan pendarahan semasa pembedahan apabila adrenalin dengan lidocaine digunakan bersama. Kajian-kajian lain pada masa hadapan diperlukan untuk membuktikan keberkesanan penambahan adrenalin kepada lidocaine.
Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochane@rcsiucd.edu.my