Soalan ulasan
Adakah ubat-ubatan membantu dalam pencegahan dan rawatan pendarahan akan mengurangkan risiko kematian, risiko mengalami pembekuan darah serta mengurangkan jumlah darah yang hilang dalam kalangan orang tanpa hemofilia (masalah pendarahan), sesiapa yang berdarah atau berisiko untuk berdarah?
Latar belakang
Koagulopati, ditakrifkan sebagai kegagalan pembekuan darah normal, sering terjadi dalam penyakit yang sangat teruk, trauma dan pembedahan besar. Ini boleh menyebabkan pendarahan lebih teruk serta mungkin mengakibatkan kematian. Ubat-ubatan yang terdapat merupakan faktor pembekuan darah yang boleh disuntik ke dalam vena untuk merawat koagulopati dan pendarahan. Namun, masih kekurangan informasi tentang keberkesanan serta keselamatan ubat-ubatan tersebut.
Ulasan ini menggabungkan semua data yang terdapat mengenai ubat-ubatan tersebut supaya dapat menilai keberkesanan dan keselamatannya.
Ciri-ciri kajian
Kami telah mencari literatur medikal yang bertarikh sehingga 18 April 2018 untuk percubaan rawak terkawal (RCT), kerana percubaan RCT memberikan bukti yang paling boleh dipercayai. Kami menjumpai 31 RCT relevan yang mengandungi hasil daripada 2392 peserta dan membandingkan ubat-ubatan sama ada dengan plasebo (rawatan tidak aktif) atau ubat lain atau produk darah. RCT memberi tumpuan kepada tiga jenis faktor yang mungkin meningkatkan pembekuan darah: fibrinogen (faktor pembekuan yang meningkatkan kekuatan pembekuan), faktor pembekuan XIII (penting untuk memegang pembekuan) serta konsentrat kompleks protrombin (kombinasi empat faktor pembekuan prekursor).
Percubaan memberi ubat-ubatan ini sebelum pendarahan berlaku (profilaksis) ataupun untuk merawat pendarahan yang sedang berlaku (secara terapeutik). Sebilangan besar percubaan bertumpu kepada pembedahan, terutamanya pembedahan jantung, trauma dan pendarahan setelah melahirkan anak.
17 RCT yang dikaji mempunyai sokongan industri, 8 mempunyai sumber pendanaan yang tidak jelas malah 6 menyatakan bukan pendanaan industri.
Keputusan-keputusan utama
Tidak ada ubat yang mempengaruhi risiko kematian, tidak kira setting klinikal ataupun cara ubat digunakan. Walau bagaimanapun, kepastian kami terhadap hasil-hasil tersebut adalah rendah dan penemuan ini mungkin akan berubah pada masa hadapan apabila kajian baru diterbitkan.
Tidak ada ubat yang meningkatkan risiko pembekuan yang berbahaya dalam vena atau arteri, tetapi kepastian hasil ini adalah rendah.
Fibrinogen profilaksis mengurangkan pendarahan selepas pembedahan jantung dan ortopedik berbanding dengan plasebo. Fibrinogen profilaksis, apabila dibandingkan dengan plasebo, hampir mengurangkan keperluan transfusi darah selepas pembedahan jantung, serta mengurangkan sebanyak tiga perempat dalam pembedahan jenis lain. Fibrinogen mengurangkan keperluan transfusi darah ketika digunakan untuk merawat pendarahan.
Faktor profilaksis XIII mengurangkan pendarahan selepas pembedahan jantung.
Saiz sampel dalam percubaan rawak terkawal masa depan perlu ditingkatkan supaya dapat menunjukkan perbezaan dalam keseluruhan kelangsungan hidup serta kematian akibat pendarahan.
Kepastian bukti
Kepastian kami terhapat bukti-bukti adalah rendah, tetapi kajian pada masa depan boleh mengubah hasil tinjauan ini.
Kesimpulan
Kepastian yang rendah tentang bukti menyebabkan sukar dalam membuat kesimpulan mengenai keberkesanan ubat-ubatan tersebut dan sama ada mereka harus digunakan dalam rawatan kesihatan. Penyelidikan yang lebih lanjut diperlukan dalam RCT berskala lebih besar untuk menentukan faedah dan kos rawatan dan adakah rawatan ini lebih bagus berbanding dengan risikonya.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Di sunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.