Apakah isunya?
Kekejangan kaki dialami sebagai kontraksi otot kaki secara tiba-tiba dan luar kawal. Ia adalah masalah lazim ketika hamil, terutama pada trimester ketiga. Ia menyakitkan dan boleh mengganggu aktiviti harian, mengganggu tidur, dan mengurangkan kualiti hidup. Pelbagai intervensi telah digunakan ketika hamil untuk merawat kekejangan kaki, termasuk terapi ubat, elektrolit (magnesium, kalsium, natrium) dan vitamin, dan terapi bukan ubat seperti regangan otot.
Mengapa hal ini penting?
Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui apa yang berkesan dan selamat untuk merawat kekejangan kaki semasa hamil.
Apakah bukti yang telah kami temui?
Kami mencari bukti pada September 2019 dan mengenal pasti lapan kajian rawak terkawal, dengan sejumlah 576 wanita hamil 14 hingga 36 minggu, yang membandingkan sama ada magnesium, kalsium, kalsium-vitamin D atau vitamin B dengan plasebo atau tanpa rawatan, dan membandingkan vitamin C dengan kalsium. Semua rawatan diberi sebagai tablet untuk dikunyah atau ditelan.
Penambahan magnesium mungkin mengurangkan kekerapan wanita mengalami kekejangan kaki jika dibanding dengan plasebo atau tanpa rawatan, walaupun penemuan ini tidak konsisten. Kajian-kajian mengukurnya dengan pelbagai cara, kadang-kadang menunjukkan magnesium membantu mengurangkan bilangan kekejangan kaki tetapi kadang-kadang menunjukkan bahawa ia membuat sedikit atau tiada perbezaan. Begitu juga, bukti tentang sama ada magnesium mengurangkan intensiti sakit tidak dapat disimpulkan dengan satu kajian yang menunjukkan penurunan sementara kajian lain menunjukkan tiada perbezaan. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam pengalaman kesan sampingan, seperti mual dan cirit-birit.
Kalsium tidak konsisten mengurangkan kekerapan wanita mengalami kekejangan kaki selepas rawatan berbanding wanita yang tidak mendapat rawatan. Bukti juga didapati berkualiti rendah dan kami tidak pasti dengan keputusan-keputusannya.
Lebih ramai wanita yang menerima penambahan vitamin B pulih sepenuhnya berbanding wanita yang tidak menerima rawatan;walau bagaimanapun keputusan ini adalah dari sampel kecil dan kajian tersebut mempunyai pembatasan reka bentuk.
Kekerapan kekejangan kaki tidak berbeza antara wanita yang dirawat dengan kalsium dan yang dirawat dengan vitamin C.
Penambahan kalsium-vitamin D dan vitamin D tidak mempengaruhi kekerapan, durasi, dan intensiti sakit kekejangan kaki selepas rawatan berbanding wanita yang menerima plasebo.
Apakah maksudnya?
Tahap bukti didapati berkualiti rendah atau sangat rendah. Ini disebabkan oleh saiz sampel kajian yang kecil dan reka bentuk kajian yang buruk. Empat kajian dilaksanakan dan dilaporkan dengan baik. Empat yang lain mempunyai pembatasan reka bentuk: wanita tidak diperuntukkan untuk kumpulan rawatan yang berbeza dengan cara terbaik dalam beberapa kajian, dan dalam dua kajian wanita mengetahui sama ada mereka menerima rawatan atau tidak. Kesan buruk seperti kesan rawatan terhadap komplikasi kehamilan, pelahiran dan bayi tidak dilaporkan. Beberapa kajian menumpukan paras kalsium dan magnesium dalam serum. Kekerapan dan intensiti kekejangan serta durasi sakit tidak dilaporkan dengan cara yang konsisten dan seringkali kurang maklumat tenyang cara ukuran, sama ada semasa rawatan, pada akhir rawatan atau setelah tamat rawatan.
Tidak jelas dari bukti yang diulas sama ada sebarang intervensi oral (magnesium, kalsium, kalsium-vitamin D, vitamin B vitamin D atau vitamin C) memberi rawatan yang berkesan dan selamat untuk kekejangan kaki ketika hamil. Penambahan mungkin memberi kesan yang berbeza bergantung kepada pengambilan biasa zat-zat tersebut dalam kalangan wanita. Tiada kajian yang mempertimbang terapi seperti regangan otot, urutan, relaksasi atau terapi panas.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my