Yoga untuk sakit kronik bahagian bawah belakang tak spesifik

Mesej utama

Bagi mereka yang mengalami sakit pinggang yang berpanjangan tanpa sebab yang diketahui (sakit pinggang tidak spesifik kronik), selepas tiga bulan melakukan yoga atau tidak melakukan yoga, yoga mungkin lebih baik daripada tidak melakukan senaman untuk menambahbaik kesakitan dan fungsi yang berkaitan dengan belakang, walaupun penambahbaikan adalah kecil.

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara yoga dan jenis senaman berfokus belakang yang lain dalam meningkatkan fungsi berkaitan belakang, tetapi kami tidak pasti tentang perbezaan antara yoga dan senaman lain untuk meningkatkan kesakitan.

Sakit belakang adalah bahaya yang paling lazim dilaporkan dalam kajian yoga. Risiko bahaya adalah lebih tinggi dengan yoga berbanding tanpa yoga, tetapi serupa untuk yoga dan senaman lain. Tidak ada cadangan bahawa yoga dikaitkan dengan risiko bahaya yang serius.

Apakah sakit pinggang tak spesifik?

Sakit pinggang merupakan masalah kesihatan yang biasa. Dalam kebanyakan kes, tiada punca yang diketahui untuk kesakitan dan ia dipanggil sakit belakang 'tidak spesifik'. Bagi sesetengah orang, kesakitan boleh bertahan selama tiga bulan atau lebih dan pada masa ini ia diistilahkan sebagai 'kronik.' Sakit pinggang yang tidak spesifik biasanya dirawat dengan ubat tahan sakit dan senaman, dan tidak memerlukan pembedahan atau prosedur invasif lain. Yoga kadangkala digunakan untuk membantu merawat atau menguruskan sakit pinggang.

Apakah yang kami ingin mengetahui?

Kami ingin mengetahui sama ada yoga meningkatkan fungsi (contohnya, keupayaan untuk berjalan, melakukan kerja di sekitar rumah, berpakaian), kesakitan dan kualiti hidup yang berkaitan dengan sakit pinggang.

Apa yang kami buat?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang membandingkan amalan yoga menggunakan postur fizikal (sering dipanggil 'hatha yoga') dengan sebarang rawatan lain, yoga palsu (pura-pura) atau tanpa rawatan pada orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas). Kami juga menyertakan kajian membandingkan yoga yang ditambahkan pada rawatan lain, berbanding rawatan lain sahaja.

Apa yang kami dapati?

Kami menyertakan 21 kajian dengan 2223 peserta. Sepuluh kajian telah dijalankan di AS, lima di India, dua di UK, dan masing-masing satu di Croatia, Jerman, Sweden dan Turki. Kebanyakan peserta adalah wanita dalam lingkungan 40-an atau 50-an.

Keputusan utama

Tiada kajian membandingkan yoga dengan yoga palsu.

Sepuluh kajian membandingkan yoga kepada bukan senaman, yang tidak melibatkan rawatan, menangguhkan rawatan yoga atau pendidikan (cth buku kecil dan kuliah). Enam kajian membandingkan yoga dengan senaman berfokus belakang atau program senaman yang serupa. Lima kajian membandingkan yoga, bukan bersenam dan satu lagi bentuk senaman.

Pada tiga bulan, terdapat bukti kualiti rendah hingga sederhana bahawa yoga adalah lebih baik sedikit daripada tidak bersenam dalam meningkatkan fungsi dan kesakitan belakang, tetapi perbezaannya tidak cukup penting kepada orang yang mengalami sakit pinggang. Terdapat bukti berkualiti rendah untuk lebih banyak peningkatan klinikal dengan yoga. Terdapat bukti berkualiti sederhana untuk sedikit peningkatan dalam kualiti hidup fizikal (mampu aktif) dan mental (masalah emosi) dan bukti berkualiti rendah untuk sedikit atau tiada penambahbaikan dalam kemurungan.

Pada tiga bulan, terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara yoga dan jenis senaman lain dalam penambahbaikan fungsi belakang. Bukti adalah kualiti yang sangat rendah untuk kesan pada kesakitan pada tiga bulan dan kami masih tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan antara yoga dan senaman lain untuk kesakitan. Bukti juga mempunyai kualiti yang sangat rendah untuk penambahbaikan klinikal dan perubahan dalam kualiti hidup fizikal dan mental.

Kemudaratan yang paling biasa dilaporkan dalam kajian adalah peningkatan sakit belakang. Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa risiko kemudaratan adalah lebih tinggi dengan yoga berbanding dengan tidak bersenam, dan bukti berkualiti rendah bahawa risiko kemudaratan adalah serupa antara yoga dan senaman bertumpu belakang. Tiada satu pun daripada kajian yang melaporkan yoga dikaitkan dengan risiko kesan sampingan yang serius.

Apakah batasan bukti?

Oleh kerana kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan yoga dengan yoga palsu, kami tidak boleh mengatakan bagaimana yoga akan menjejaskan sakit pinggang jika orang ramai tidak tahu mereka melakukan yoga. Peserta dalam semua kajian menyedari sama ada mereka mengamalkan yoga atau tidak, dan ini mungkin telah mempengaruhi laporan mereka dalam fungsi, kesakitan, dan langkah-langkah lain. . Di samping itu, beberapa kajian adalah sangat kecil, terdapat beberapa kajian dalam beberapa perbandingan dan kajian dalam beberapa perbandingan mempunyai keputusan yang tidak konsisten. Oleh itu, kami menurunkan kualiti bukti kepada sederhana, rendah atau sangat rendah.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information