Antidepresan untuk kecelaruan panik dalam kalangan dewasa

Mengapakah ulasan ini penting?

Kecelaruan panik adalah perkara yang kerap terjadi dalam kalangan masyarakat awam. Ciri-cirinya adalah serangan panik, tempoh ketakutan atau kecemasan yang bermula dengan pantas dan disertai dengan gejala-gelaja khas yang lain (yang melibatkan sistem tubuh dan fikiran ketakutan). Rawatan untuk kecelaruan panik merangkumi intervensi psikologi dan farmakologi, yang sering digunakan secara gabungan. Antara intervensi farmakologi, rawatan standard yang disyorkan oleh garis panduan ialah beberapa kelas ubat antidepresan yang berbeza. Bukti-bukti untuk keberkesanan dan penerimaan ubat antidepresan adalah tidak jelas.

Siapakah yang akan berminat akan ulasan ini?

Penghidap kecelaruan panik dan pengamal perubatan am

Apakah soalan yang akan dijawab oleh ulasan ini?

Apakah keberkesanan antidepresan berbanding rawatan palsu (dikenali sebagai plasebo) dalam rawatan kecelaruan panik?

Apakah tahap penerimaan antidepresan berbanding plasebo dalam rawatan kecelaruan panik?

Berapa banyakkah kesan buruk antidepresan berbanding dengan plasebo dalam rawatan pesakit dengan kecelaruan panik?

Kajian mana yang telah dimasukkan dalam ulasan ini?

Kami melakukan pencarian dalam pangkalan data elektronik untuk mencari semua kajian yang berkaitan. Kajian perubatan yang dimasukkan ke dalam ulasan ini meliputi kajian-kajian yang membandingkan rawatan dengan antidepresan atau plasebo dalam kalangan orang dewasa dengan diagnosis kecelaruan panik. Kajian yang dimasukkan hendaklah menggunakan kaedah ujian rawak terkawal (RCTs), yang bermaksud pesakit-pesakit dewasa diagihkan secara rawak (secara kebetulan semata-mata) untuk menerima rawatan antidepresan atau plasebo. Kami sertakan 41 kajian RCTs yang melibatkan 9377 orang dalam ulasan ini.

Apakah informasi yang diperolehi daripada bukti-bukti dalam ulasan ini?

Kami mendapati bukti yang menunjukkan bahawa antidepresan adalah lebih baik berbanding plasebo dari segi keberkesanan dan bilangan peserta yang meninggalkan kajian lebih awal. Walau bagaimanapun, penemuan kami juga menunjukkan bahawa antidepresan kurang ditahan oleh peserta berbanding plasebo, menyebabkan lebih banyak kes ciciran akibat kesan buruk. Keputusan ini terbatas dalam cara yang berikut: sesetengah kajian dibiayai oleh syarikat-syarikat farmaseutikal, dan hanya keputusan jangka masa pendek dinilai. Kami mendapati hampir tiada data tentang hasil klinikal yang relevan lain, seperti fungsi dan kualiti hidup. Kualiti bukti yang sedia ada adalah dari tahap yang sangat rendah hingga tinggi.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Kajian dengan hasil yang dinilai semasa lawatan susulan jangka panjang perlu dijalankan untuk menilai sama ada kesannya adalah sementara atau berkekalan. Kajian patut melaporkan apa-apa kemudaratan yang dialami oleh peserta semasa kajian. Di samping itu, satu analisis lanjutan dengan pendekatan yang dipanggil 'meta-analisis rangkaian’ yang akan merangkumi semua rawatan psychopharmacological untuk kecelaruan panik, dan ini mungkin akan menjelaskan lagi isu ini, serta dapat memberi lebih banyak maklumat berkenaan dengan perbandingan keberkesanan pelbagai intervensi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zcho Huey Lee, Penang Medical College (formerly Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong, RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College). untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information