Penyakit arteri periferi (PAD) pada kaki mempengaruhi 13% orang yang berumur 50 tahun ke atas. Kadangkala PAD adalah "senyap" dan orang tidak sedar yang mereka menghidapnya, tetapi PAD boleh menyebabkan sakit di kaki, terutamanya ketika berjalan, dan jenis PAD dengan gejala ini mempengaruhi 5% orang di dunia Barat di antara umur 55 hingga 74 tahun. Berkenaan PAD, deposit lemak (aterosklerosis) dan darah beku menyebabkan arteri-arteri menjadi sempit dan tersumbat. Ini menyebabkan aliran darah yang lemahkepada otot-otot ketika bersenam, mengakibatkan gejala klasik sakit otot ketika berjalan yang reda selepas berehat (klaudikasi terputus-putus). Dalam kes-kes PAD yang teruk, gejala sakit ketika berehat, ulser dan gangren boleh terbentuk dan, jika tidak dirawat, boleh mengakibatkan amputasi kaki. Orang yang menghidap PAD juga berisiko tinggi untuk penyakit kardiovaskular dan strok.
Indeks brakial buku lali (ABI) adalah ujian yang digunakan untuk memudahkan diagnosis PAD. Ujian tersebut diguna untuk menyukat tekanan darah menggunakan kaf yang boleh kembung, dan ukuran tekanan darah diambil pada pangkal lengan dan buku lali. Alat tersebut boleh secara manual atau digital menggunakan pengiraan tekanan darah elektronik otomatik. ABI tersebut digunakan secara meluas untuk pemeriksaan PAD oleh jururawat pakar, doktor, doktor bedah dan 'podiatrist' di hospital-hospital. Membahagikan tekanan darah yang direkodkan di buku lali kepada tekanan yang direkod di lengan menghasilkan satu nisbah. Nisbah 0.90 sehingga 1.30 dianggap normal untuk dewasa, dan nisbah kurang dari 0.8 menunjukkan terdapat PAD. Bacaan yang lebih rendah (<0.7) mencadangkan bahawa penyakit tersebut adalah teruk dan orang mungkin boleh mendapat ulser dan gangren. Orang yang mempunyai PAD ringan dan sederhana boleh didiagnos melalui beberapa cara apabila menggunakan ABI: ketika pemeriksaan rutin kaki diabetik di praktis umum, di klinik kesihatan komuniti atau persekitaran hospital, sebagai ujian saringan PAD dalam kalangan orang yang tidak mempunyai gejala dan semasa pemeriksaan orang yang mempunyai sakit kaki ketika bergerak menunjukkan PAD. Apabila diagnosis PAD dibuat, rawatan akan melibatkan terapi pencegahan sekunder dan nasihat gaya hidup (senaman, berhenti merokok, pemakanan, berat), dan untuk mereka dengan kualiti hidup yang terjejas, rawatan melibatkan terapi senaman di bawah pengawasan, atau vaskularisasi semula, yang biasanya melibatkan rawatan endovaskular berbanding pembedahan.
Di hospital-hospital, ujian-ujian lain mungkin digunakan untuk mendiagnos PAD. Ultrasound Dupleks (DUS) meunjukkan aliran darah dalam arteri-arteri dan ianya tidak invasif, tetapi hanya ahli radiologi berpengalaman boleh menghasilkan imej-imej yang berguna. Staf hospital boleh menggunakan ujian-ujian lain untuk mendapatkan imej saluran darah, iaitu, angiografi tomografi berkomputer (CTA), angiografi resonan magnetik (MRA) dan angiografi kateter.
Ujian ABI adalah tidak invasif dan tidak mahal dan diguna secara klinikal dengan meluas; oleh itu, kami telah mengulas semua laporan sedia ada daripada pencarian meluas pangkalan data penulisan perubatan untuk menganggarkan ketepatan mengenalpasti PAD dalam kalangan orang yang mengalami sakit ketika berjalan dan hilang sakit apabila rehat. Dua penulis bebas ulasan menilai kajian-kajian yang menepati kriteria kemasukan ulasan, termasuk penggunaan reka bentuk kajian keratan rentas; enrolmen peserta yang sakit ketika berjalan dan reda dengan berehat; dan penggunaan ultrasonografi dupleks atau angiografi untuk memeriksa kejituan keputusan-keputusan ABI. Satu kajian menepati kriteria kami dan memberikan data daripada 85 peserta (158 anggota badan). Penyiasat membandingkan kaedah dopler manual mengukur ABI dengan kaedah otomatik. Penyelidik-penyelidik hanya memberikan data untuk kaki-kaki berbanding data untuk pesakit; oleh itu kami tidak dapat mengira semula analisis di tahap keseluruhan pesakit.
Kesimpulannya, kami hanya menjumpai bukti yang sedikit mengenai kejituan indeks brakial buku lali untuk diagnosis PAD dalam kalangan orang yang mengalami sakit kaki ketika ada tekanan. Kajian yang dimasukkan dalam ulasan kami mempunyai beberapa kelemahan, dan kajian keratan rentas yang bermutu diperlukan untuk mengukur kejituan ABI bagi mendiagnos PAD dalam pesakit yang mempunyai gejala awal.
Diterjemahkan oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi hairulnizam@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).