Antidepresan untuk penghidap sawan atau epilepsi dan kemurungan

Latar belakang

Masalah kemurungan berlaku pada kira-kira satu pertiga daripada mereka yang menghidap epilepsi, masalah ini sering memerlukan rawatan dengan antidepresan. Walau bagaimanapun, kemurungan sering tidak dirawat dikalangan penghidap epilepsi, sebahagiannya mungkin disebabkan oleh ketakutan bahawa antidepresan boleh menyebabkan sawan. Terdapat kelas antidepresan yang berbeza, namun semuanya bertujuan untuk meningkatkan bahan kimia saraf utama di otak, dengan itu dapat mengurangkan gejala-gejala kemurungan.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati sepuluh kajian yang merangkumi 626 pesakit dengan epilepsi dan kemurungan yang dirawat dengan antidepresan. Empat adalah ujian terkawal secara rawak, dan enam adalah kajian kohort prospektif bukan rawak. Kajian mengamati kesan antidepresan yang berbeza, terutamanya kelas antidepresan yang disebut penghalang selektif pengambilan serotonin (SSRI). Satu percubaan terkawal secara rawak dan satu kajian prospektif juga memerhatikan kesan terapi tingkah laku kognitif terhadap kemurungan.

Keputusan

Dengan mengambil kira semua bukti, tinjauan mendapati bahawa terdapat bukti yang sangat terhad bahawa antidepresan mengurangkan gejala kemurungan lebih banyak daripada rawatan lain, plasebo, atau tidak ada rawatan dalam epilepsi. Terdapat maklumat yang terhad mengenai kesan antidepresan pada gejala kekejangan semasa sawan, namun begitu kajian-kajian yang melaporkan hasil ini menyatakan bahawa tidak terdapat kesan kejang yang lebih teruk dengan pengambilan antidepresan. Bukti terkini sehingga Februari 2021.

Kualiti kajian

Kami menilai kajian berkenaan dari segi berat sebelah/bias dan kualiti. Secara keseluruhannya, kualiti bukti dinilai sebagai sederhana hingga rendah untuk ujian klinikal dan rendah hingga sangat rendah untuk kajian kohort prospektif yang tidak rawak. Ujian yang lebih berkualiti tinggi diperlukan untuk mengkaji perbandingan kesan dengan kelas antidepresan yang berlainan, dan impaknya terhadap kawalan sawan/kejang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information