Apakah faedah dan risiko menggunakan realiti maya dalam persekitaran penjagaan kesihatan untuk mengalihkan perhatian kanak-kanak daripada kesakitan?

Mengapakah soalan ini penting?

Prosedur perubatan, seperti pemeriksaan kesihatan atau suntikan, boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kesakitan. Dalam situasi ini, cara yang biasa untuk mengalihkan perhatian kanak-kanak adalah dengan menggunakan alat mainan atau bermain, untuk mengurangkan keresahan dan ketakutan terhadap kesakitan.

Salah satu bentuk mengalihkan perhatian yang boleh digunakan adalah realiti maya. Realiti maya adalah persekitaran buatan dengan pemandangan dan objek yang kelihatan nyata (contohnya dunia ais, atau taman hidupan liar). Realiti maya boleh:

- Sepenuhnya imersif: pengguna biasanya memakai alat pendengaran dengan fon kepala dan skrin, dan berinteraksi dengan persekitaran maya seolah-olah mereka benar-benar berada di dalamnya.

- Separa imersif: pengguna berinteraksi dengan persekitaran maya yang separa (contohnya, simulator penerbangan di mana kawalannya nyata, tetapi tetingkap memaparkan gambar maya).

- Tidak imersif: pengguna disambungkan ke dunia maya dengan monitor yang berasingan (misalnya, komputer) tetapi masih dapat mengalami dunia nyata.

Untuk mengetahui sama ada realiti maya dapat mengalihkan perhatian kanak-kanak daripada kesakitan, dan sama ada ia berkaitan dengan kesan yang teruk (tidak diingini), kami telah mengulas bukti penyelidikan.

Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), kerana ini memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan. Kami membandingkan dan merumuskan hasilnya. Akhirnya, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 17 kajian yang melibatkan sejumlah 1008 kanak-kanak berumur antara empat hingga 18 tahun. Prosedur perubatan termasuk suntikan, pengambilan darah, penukaran pembalut luka, dan latihan senaman. Kajian-kajian telah membandingkan realiti maya dengan tanpa mengalih perhatian, atau dengan mengalih perhatian secara bukan maya. Tiada kajian yang membandingkan pelbagai jenis realiti maya.

Semasa prosedur perubatan

Kami tidak dapat menyatakan sama ada realiti maya mengurangkan kesakitan yang dilaporkan sendiri semasa prosedur perubatan kerana kami kurang yakin dengan bukti yang sedia ada (tiga kajian).

Hanya dua kajian yang meneliti perubahan kesakitan yang dinilai oleh pemerhati (contohnya, menggunakan skala penilaian yang berkisar antara 0 (tidak sakit) hingga 10 (sakit kuat). Ini melaporkan penemuan yang bertentangan: dalam satu kajian realiti maya yang sepenuhnya imersif adalah bermanfaat berbanding dengan mengalihkan perhatian secara bukan maya, tetapi tidak dalam yang lain.

Realiti maya sepenuhnya imersif dapat mengurangkan kesakitan yang dinilai oleh pemerhati berdasarkan tingkah laku kanak-kanak (contohnya, menangis, atau menggosok bahagian badan dengan cara yang menunjukkan kesakitan) lebih berkesan daripada mengalihkan perhatian secara bukan maya (dua kajian) atau tidak ada mengalihkan perhatian (satu kajian).

Realiti maya yang tidak imersif adalah tidak bermanfaat untuk kesakitan yang dinilai oleh pemerhati berdasarkan tingkah laku kanak-kanak berbanding dengan yang tanpa mengalihkan perhatian (satu kajian).

Selepas prosedur perubatan

Kami tidak dapat menyatakan sama ada realiti maya mengurangkan kesakitan yang dilaporkan sendiri semasa prosedur perubatan, kerana kami kurang yakin dengan bukti yang sedia ada (16 kajian).

Lima kajian menyelidik perubahan kesakitan yang dinilai oleh pemerhati. Realiti maya adalah bermanfaat berbanding tidak ada mengalihkan perhatian dalam dua kajian, dan juga apabila dibandingkan dengan mengalihkan perhatian secara bukan maya dalam dua kajian lain. Walau bagaimanapun, ia adalah tidak lebih baik daripada mengalihkan perhatian secara bukan maya dalam satu kajian.

Dua kajian yang meneliti kesakitan yang dinilai oleh pemerhati berdasarkan tingkah laku kanak-kanak melaporkan penemuan yang bertentangan: realiti maya yang imersif adalah bermanfaat berbanding dengan mengalihkan perhatian secara bukan maya dalam satu kajian, tetapi tidak dalam yang lain.

Kami tidak dapat menyatakan sama ada wujudnya perbezaan antara realiti maya dan tanpa mengalihkan perhatian untuk kesakitan yang dinilai oleh pemerhati berdasarkan tingkah laku kanak-kanak, kerana kami sangat kurang yakin pada bukti yang sedia ada (satu kajian).

Kesan buruk

Kami tidak dapat menyatakan jika realiti maya dikaitkan dengan kesan buruk kerana kami terlalu kurang yakin dengan bukti yang ada (11 kajian).

Apakah maksudnya?

Kami mempunyai keyakinan yang sedikit hingga sangat sedikit terhadap bukti yang kami kenal pasti. Adalah tidak jelas daripada ulasan kami sama ada mengalihkan perhatian secara realiti maya memberi perbezaan terhadap kesakitan dalam kanak-kanak. Terdapat keperluan untuk kajian besar yang direka dengan baik dalam bidang ini.

Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information