Soalan ulasan
Adakah pesakit yang menderita vertigo pelbagai sebab mendapat manfaat ubat betahistine?
Latar belakang
Vertigo adalah simptom di mana individu mengalami sensasi pergerakan yang palsu. Pening jenis ini dianggap berasal dari organ keseimbangan telinga dalam atau hubungannya ke otak. Ia adalah simptom yang lazim dialami dan boleh menyebabkan masalah signifikan ketika menjalankan aktiviti-aktiviti biasa. Betahistine adalah sejenis ubat yang mungkin berfungsi dengan memperbaik aliran darah ke telinga dalam. Ulasan ini mengkaji sama ada betahistine lebih berkesan berbanding plasebo (ubat palsu) dalam merawat simptom vertigo pelbagai sebab dalam kalangan pesakit sebarang umur.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan 17 kajian, dengan jumlah 1025 peserta. Enam belas kajian menyertakan 953 orang membandingkan betahistine dengan plasebo; kajian-kajian tersebut berisiko bias tinggi atau tidak jelas. Semua kajian-kajian dengan data yang boleh dianalisis berlangsung selama tiga bulan atau kurang. Satu kajian, berisiko bias tinggi, menyertakan 72 orang dengan vertigo posisi paroksismal benigna (BPPV) dan membandingkan betahistine dengan plasebo; semua pesakit juga mendapat perasat reposisi partikel. Kami menilai kualiti bukti keseluruhan sebagai rendah.
Kajian-kajian tersebut sangat berbeza dari segi jenis peserta, diagnosis mereka, dos betahistine dan tempoh pengambilan ubat, kaedah kajian dan cara sebarang pembaikan simptom vertigo diukur.
Keputusan utama
Apabila semua kajian digabung, perkadaran pesakit yang melaporkan pengurangan simptom vertigo adalah lebih tinggi dalam kumpulan betahistine berbanding kumpulan plasebo. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan signifikan dalam keputusan-keputusan kajian-kajian oleh itu keputusan ini perlu ditafsir dengan berhati-hati.
Perkadaran pesakit yang melaporkan kesan-kesan sampingan ubat adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan: 16% dalam kumpulan betahistine dan 15% dalam kumpulan plasebo. Secara keseluruhan, 16% pesakit dari kedua-dua kumpulan menarik diri dari kajian-kajian itu.
Tiada cukup maklumat tentang kesan betahistine terhadap ujian objektif fungsi organ keseimbangan telinga dalam. Tiada maklumat tentang kesan betahistine terhadap kualiti hidup keseluruhan atau jatuh.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti kajian-kajian yang disertakan sebagai rendah, bermakna anggaran kami bagi kesan betahistine boleh jadi tidak tepat. Bukti adalah terkini sehingga September 2015.
Kesimpulan
Bukti berkualiti rendah mencadangkan pesakit yang menderita vertigo pelbagai sebab mungkin mendapat manfaat dari betahistine dari segi pengurangan simptom vertigo. Betahistine secara umum diterima baik. Penyelidikan masa depan pengurusan simptom vertigo perlu menggunakan metodologi yang lebih ketat dan menyertakan hasil penting untuk pesakit dan keluarga mereka.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my