Latarbelakang
Adalah dipercayai bahawa kekurangan zink adalah meluas di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan wanita yang tinggal di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Makanan berasaskan bijirin dan kekacang adalah kaya dengan serat dan fitat, yang mengurangkan penyerapan zink dari usus. Oleh sebab orang dalam isi rumah berpendapatan rendah makan banyak makanan berasaskan bijirin, mereka lebih cenderung untuk mengalami kekurangan zink. Tambahan zink dalam makanan ruji biasa, secara tunggal atau gabungan dengan vitamin dan mineral lain, telah dicadangkan sebagai suatu intervensi untuk meningkatkan pengambilan zink di dalam populasi yang mengambil makanan ini.
Soalan ulasan
Kami menilai kesan tambahan makanan ruji dengan zink ke atas paras zink dalam darah dan hasil berkait kesihatan dalam masyarakat umum yang berumur dua tahun keatas.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan lapan kajian (709 peserta); tujuh adalah dari negara-negara berpendapatan sederhana di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin di mana kekurangan zink mungkin menjadi masalah kesihatan awam.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Kesan tambahan makanan ruji dengan zink pada kejadian kekurangan zink tidak pasti. Tambahan makanan ruji dengan zink mungkin menghasilkan peningkatan kecil dalam tahap zink darah dalam populasi jika zink adalah satu-satunya mikronutrien yang digunakan untuk tambahan. Zink ditambah kepada makanan dalam kombinasi dengan mikronutrien lain mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan.kepada tahap zink darah. Tambahan makanan dengan zink boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan pada insiden kurang berat badan atau pertumbuhan terbantut. Kesan tambahan makanan dengan zink kepada hasil lain, termasuk membuang dan berat / ketinggian, tidak diketahui. Tambahan makanan dengan zink nampaknya tidak mempunyai apa-apa kesan buruk kepada petunjuk status besi atau tembaga. Kebanyakan kajian termasuk dalam ulasan ini melibatkan sebilangan kecil peserta dan telah dinilai sebagai berisiko serong rendah atau tidak jelas. Terdapat juga beberapa percanggahan dalam keputusan di seluruh kajian yang berbeza.
Diterjemah oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my. Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College)