Menambah iodin kepada makanan, selain garam, untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan iodin yang tidak cukup

Latar belakang dan soalan ulasan

Ramai orang di seluruh dunia tidak mengambil cukup iodin. Ini menjadi masalah kerana iodin penting untuk pertumbuhan kanak-kanak yang lazim dan perkembangan otak, dan untuk memastikan populasi dewasa yang sihat. Pengambilan iodin yang tidak cukup boleh membawa masalah kesihatan, seperti ketidakupayaan intelektual dan goiter (pembesaran kelenjar tiroid). Pada masa ini, strategi utama untuk meningkatkan amaun pemgambilan iodin dalam populasi yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah menambahkan iodin kepada garam. Walau bagaimanapun, di beberapa kawasan di mana garam bukan perasa utama, menambah iodin kepada makanan lain juga telah diterokai. Tujuan kajian kami adalah untuk menilai kesan menambah iodin kepada makanan, minuman, perasa, atau perasa selain garam, terhadap status nutrisi dan hasil yang berkaitan dengan kesihatan di dalam semua populasi.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari artikel dari pelbagai sumber termasuk kertas penyelidikan yang diterbitkan, laporan tidak diterbitkan, dan melalui komunikasi langsung dengan pakar dan organisasi yang bekerja untuk menangani kekurangan iodin dan mikronutrien. Kami akhir sekali mencari pangkalan data pada Januari 2018.

Sebelas kajian, yang memperoleh data dari 4317 peserta (3636 kanak-kanak, 648 wanita berumur reproduktif, dan 33 bayi), memenuhi kriteria kemasukan kami. Jenis makanan yang digunakan untuk menyampaikan iodin berbeza-beza di antara kajian, termasuk biskut, susu, sos ikan, air minuman, yogurt, minuman buah, serbuk perasa, dan susu formula bayi. Amaun iodin yang diberikan kepada peserta adalah dari 35 μg/hari hingga 220 μg/hari, dan tempoh pengajian adalah 11 hari hingga 48 minggu. Daripada 11 kajian yang dimasukkan, lima mengkaji kesan menambah iodin sahaja kepada makanan berbanding dengan tanpa intervensi atau makanan yang sama tanpa iodin; manakala enam kajian menilai kesan penambahan iodin ditambah mikronutrien lain kepada makanan berbanding makanan yang sama tanpa iodin, tetapi dengan pelbagai paras mikronutrien lain.

Keputusan-keputusan utama

Tiada kajian menilai kesan penambahan iodin kepada makanan terhadap kematian, perkembangan mental, fungsi kognitif, ‘cretinism’ (keadaan yang dicirikan oleh gangguan kawalan pergerakan fizikal dan kecacatan intelektual), hipotiroidisme (tiroid kurang aktif), kepekatan hormon rangsang tiroid, atau kepekatan serum tiroglobulin (ini adalah penanda biologi yang menunjukkan kehadiran kurang iodin apabila kepekatannya dalam darah adalah tinggi).

Dua kajian melaporkan kesan intervensi terhadap goiter, satu kajian menilai lima ukuran perkembangan fizikal (berat badan, ketinggian, berat badan untuk usia, ketinggian untuk usia, dan skor berat badan untuk ketinggian), dan satu kajian menilai kesan buruk . Semua kajian menilai kepekatan iodin air kencing (kepekatan iodin yang dirembes dalam air kencing, yang menunjukkan kehadiran kekurangan iodin apabila kepekatan adalah rendah dalam kumpulan populasi, berbanding individu). Kami menggabungkan data yang memenuhi keperluan kami dalam kajian-kajian tersebut dalam satu metaanalisis .

Kami tidak pasti tentang kesan penguatan iodin dalam jumlah peserta dengan goiter, atau pada mana-mana lima ukuran perkembangan fizikal. Satu kajian melaporkan secara naratif bahawa tiada kesan buruk diperhatikan sepanjang kajian. Kami mendapati peningkatan ketara 38.32 μg/L dalam kepekatan iodin urin selepas menambah iodin kepada makanan, berbanding dengan kumpulan yang tidak mempunyai tambahan iodin, dari kajian-kajian berkualiti lebih tinggi.

Kualiti bukti

Menggunakan GRADE, kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah untuk goiter dan ukuran perkembangan fizikal, akibat batasan kajian (risiko bias) dan keputusan-keputusan tidak tepat, dan berkualiti rendah bagi peristiwa buruk akibat keputusan-keputusan tidak langsung dan tidak tepat. Kami menilai kualiti bukti untuk kepekatan iodin urin, dari kajian-kajian di mana peserta diperuntukkan kepada kumpulan rawatan secara rawak (reka bentuk standard emas untuk penyelidikan klinikal), sebagai sederhana. Di samping itu, kualiti bukti untuk kepekatan iodin urin dari kajian-kajian tanpa unsur rawak ini dinilai sangat rendah, oleh kerana batasan kajian dan keputusan-keputusan tidak tepat.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, tiada bukti jelas tentang kesan intervensi untuk mengurangkan kadar orang dengan goiter, memperbaiki pertumbuhan fizikal, atau peristiwa buruk. Walau bagaimanapun, keputusan kami menunjukkan menambah iodin kepada makanan mungkin meningkatkan kepekatan iodin kencing. Kajian tambahan untuk mengukur lebih banyak kesan intervensi ke atas hasil-hasil ini, serta hasil yang lain, diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information