Pembalut hidrogel untuk ulser vena kaki

Mesej utama

Kita tidak dapat mempastikan samada pembalut hidrogel adalah lebih berkesan dalam proses penyembuhan ulser kaki vena berbanding pembalut-pembalut lain seperti kain kasa dan saline, alginat, madu manuka ataupun hidrokoloid. Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk membuat perbandingan antara pembalut hidrogel dengan pembalut-pembalut lain dari segi kesan sampingan yang berpotensi.

Apakah ulser vena kaki?

Ulser vena kaki adalah luka pada kaki yang disebabkan oleh perubahan dalam peredaran darah dalam vena. Luka-luka sebegini sukar sembuh. Ulser kaki vena boleh menyebabkan rasa sakit, gatal-gatal dan menimbulkan bengkak. Mungkin terdapat perubahan pada kulit di sekeliling ulser, dan ia juga mungkin merembeskan bendalir. Rawatan piawai untuk luka seperti ini merupakan terapi mampatan (yang melibatkan pembalut atau stoking) untuk membaiki aliran darah di kaki. Pembalut digunakan di bawah pembalut mampatan untuk melindungi luka serta membantu proses penyembuhan. Jenis pembalut berbeza dalam keupayaannya untuk: mengekalkan persekitaran yang lembap; menyerap cecair yang berlebihan dari luka; melembutkan tisu mati; melapik luka; pastikan luka bersih dan bebas daripada kuman dan pastikan kulit yang baru sembuh tetap utuh. Pembalut hidrogel diisi dengan gel berair dan boleh digunakan untuk mengekalkan lembapan luka; ia bertujuan untuk membantu membuang tisu mati dan membantu pertumbuhan kulit yang sihat.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pembalut hidrogel berbanding dengan pembalut lain:

– menyembuhkan ulser vena kaki;

– mempunyai sebarang kesan sampingan;

– mempunyai sebarang kesan pada perubahan saiz ulser, masa penyembuhan ulser atau kadar pengulangan semula ulser;

– menambahbaik kualiti hidup pesakit;

– mengurangkan kesakitan;

– memberi kesan pada kos rawatan.

Apa yang kami buat?

Kami mencari penulisan perubatan dan mengumpul dan menganalisis semua kajian rawak terkawal yang berkaitan (kajian klinikal di mana rawatan yang diterima orang dipilih secara rawak) untuk menjawab soalan ini. Kajian jenis ini memberikan bukti kesihatan yang paling boleh dipercayai. Tiada sekatan pada bahasa penerbitan, tetapan tempat rawatan digunakan, atau jantina atau umur peserta, selagi mereka mengalami ulser vena kaki. Kami mengecualikan kajian yang menilai pembalut hidrogel yang diresapi dengan antimikrobial (yang mengurangkan kehadiran bakteria), antiseptik (yang menghentikan atau melambatkan pertumbuhan kuman) atau agen analgesik (ubat penahan sakit) kerana intervensi ini dinilai dalam Ulasan Cochrane yang lain.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati empat kajian bertarikh dari 1994 hingga 2008, melibatkan 272 peserta dengan purata umur antara 55 hingga 68 tahun. Dua kajian tidak memberikan maklumat mengenai jantina peserta dan dua lagi memasukkan 29 wanita dan 51 lelaki. Kajian menyiasat penggunaan pembalut hidrogel untuk sama ada dua atau empat minggu. Pembalut hidrogel dibandingkan dengan kain kasa dan saline (air masin), alginat, madu manuka atau hidrokoloid.

– Tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam penyembuhan luka lengkap apabila hidrogel dibandingkan dengan kain kasa dan saline atau madu manuka.

– Tidak pasti sama ada insiden jangkitan luka adalah berbeza antara pembalut hidrogel dan madu manuka atau sama ada terdapat perbezaan antara hidrogel dan kain kasa dan saline, alginat atau hidrokoloid dari segi perubahan saiz ulser.

– Tiada kajian melaporkan keputusan yang boleh digunakan untuk penyembuhan ulser dari masa ke masa, ulser berulang, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kesakitan dan kos, jadi kami tidak dapat mewujudkan kesan hidrogel pada hasil ini.

Apakah yang membatasi keyakinan kami terhadap bukti?

Kebanyakan kajian adalah kecil (hanya satu dengan lebih daripada 100 peserta) dan semua kaedah yang digunakan mungkin menimbulkan ralat dalam keputusan mereka. Tempoh susulan adalah pendek (antara dua hingga 12 minggu) dan kajian tidak direka untuk menilai masa untuk penyembuhan sepenuhnya.

Sejauh mana ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 10 Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information