Intervensi membantu pesakit kembali bekerja selepas serangan jantung, pembedahan pintasan atau prosedur sten.

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan kami adalah untuk mencari dan menganalisis keputusan kajian-kajian yang menilai program-program untuk membantu pesakit penyakit jantung kembali bekerja bagi menentukan samada program-program ini benar-benar membantu mereka untuk kembali bekerja, dan juga jika program-program ini menjejaskan kualiti kehidupan atau mempunyai kesan-kesan yang tidak diingini.

Mesej-mesej utama

Program rehabilitasi jantung, meamsukkan dua komponen iaitu senaman dan kaunseling, berkemungkinan boleh memendekkan masa untuk kembali bekerja (bukti berkepastian sederhana) dan mungkin menambahkan bilangan pesakit yang kembali bekerja dalam enam bulan pertama selepas serangan jantung, pembedahan pintasan atau prosedur sten (bukti berkepastian rendah), tetapi program-program ini mungkin mempunyai kesan yang sedikit ataupun tiada ke atas pengembalian bekerja selepas enam bulan. Program-program yang mengandungi hanya kaunseling atau senaman mungkin memberi sedikit hingga ke tiada perbezaan kepada bilangan pesakit yang kembali bekerja atau dalam tempoh yang diperlukan untuk kembali bekerja (bukti berkepastian rendah hingga sangat rendah).

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Pesakit yang sedang pulih dari serangan jantung atau dari prosedur untuk menambahbaik penyakit jantung mungkin mempunyai masalah untuk kembali bekerja. Prosedur-prosedur ini adalah pembedahan pintasan (prosedur pembedahan untuk memintas arteri koronari yang sempit, juga dipanggil graf pintas arteri koronari atau CABG) atau intervensi bukan pembedahan, termasuk sebagai contoh implan sten (yang dipanggil intervensi koronari perkutaneus (PCI)). Kelemahan fizikal dan masalah emosi disebabkan oleh penyakit jantung boleh menyebabkan ketiadaan lama di tempat kerja atau membawa kepada persaraan ketidak upayaan. Keadaan di tempat bekerja mungkin juga menjadikannya sukar bagi pesakit untuk kembali bekerja. Ini boleh mempunyai impak jangka masa lama ke atas kualiti kehidupan mereka. Kami melihat kepada program-program yang telah memudahkan pesakit kembali bekerja, contoh melalui modifikasi keadaan bekerja mereka, atau memberi perhatian kepada keresahan yang kerap didapati bersama penyakit jantung melalui pendidikan pesakit mengenai kesihatan jantung, membantu mereka untuk bersenam atau mengaplikasikan gabungan kaunseling dan senaman bagi membantu mereka menjadi cukup sihat untuk kembali bekerja.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui sejumlah 39 kajian yang melihat kepada pengembalian bekerja dalam kalangan pesakit penyakit jantung dalam program yang direkabentuk untuk menyokong proses pemulihan atau menggalakkan pengembalian bekerja berbanding kepada pesakit yang menerima penjagaan biasa.

Kami tidak menemui kajian yang telah membuat perubahan kepada tempat bekerja atau polisi di tempat bekerja untuk memudahkan pengembalian bekerja, contoh dengan mengurangkan bilangan jam bekerja atau beban kerja pesakit, dan secara beransur-ansur menambah bilangan jam bekerja dan beban kerja seiring dengan pemulihan kesihatan.

Kami menemui 11 kajian yang menilai program-program yang memberi pengalamatan kepada ketakutan dan kemurungan yang lazim berlaku bersama penyakit jantung, melalui pengajaran kepada pesakit mengenai penyakit jantung. Kami tidak tahu jika program kauseling dan pendidikan kesihatan ini menambah bilangan pesakit yang kembali bekerja atau memendekkan tempoh pesakit tidak hadir bekerja (bukti berkepastian rendah hingga sangat rendah).

Kami menemui empat kajian menggunakan program yang mengesyorkan bila pesakit penyakit jantung patut kembali bekerja atau memberi kaunseling kepada rakan sekerja untuk mengurangkan kebimbangan mereka mengenai punca serangan jantung dan keupayaan pesakit untuk kembali bekerja. Intervensi kaunseling berlandaskan kerja mungkin memberi sedikit hingga kepada tiada perbezaan kepada tempoh keperluan pesakit kembali bekerja (bukti berkepastian rendah).

Kami menemui sembilan kajian yang memberikan program senaman sahaja. Program senaman mungkin memberi sedikit hingga tiada perbezaan dalam bilangan pesakit kembali bekerja antara enam bulan dan satu tahun (bukti berkepastian rendah) dan mungkin memberi sedikit hingga kepada tiada perbezaan dalam bilangan pesakit bekerja antara satu dan lima tahun atau dalam tempoh diperlukan untuk kembali bekerja (bukti berkepastian rendah).

Kami menemui 17 kajian yang menilai gabungan program-program senaman dan kaunseling. Program-program gabungan ini mungkin menambah bilangan pesakit kembali bekerja sehingga enam bulan selepas serangan jantung, pembedahan pintasan atau prosedur sten (bukti berkepastian rendah): untuk setiap lima pesakit yang berdaftar dalam program gabungan rehabilitasi jantung, satu pesakit tambahan mungkin kembali bekerja. Program-program ini mungkin memendekkan masa yang diperlukan untuk kembali bekerja (bukti berkepastian sederhana) sebanyak lebih kurang satu bulan.

Sehingga bila ulasan ini dikemaskini?

Kami telah mencari kajian yang mempunyai penerbitan sehingga 11 Oktober 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information