Soalan ulasan
Adakah membantu orang dewasa yang sakit kritikal untuk bergerak atau bersenam lebih awal semasa tinggal di unit rawatan intensif (ICU) memperbaiki keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian seperti berjalan kaki, dan keupayaan untuk melakukan penjagaan diri harian semasa keluar dari hospital? Kami mengulas bukti untuk soalan ini, untuk melihat jika senaman awal bermanfaat, termasuk amaun masa yang dihabiskan di ICU atau hospital, kekuatan otot, perasaan kesejahteraan, dan juga untuk melihat jika terdapat bahaya, seperti berlakunya jatuh. Pergerakan atau senaman boleh termasuk perkara-perkara seperti bergerak, atau duduk di luar katil, mengamalkan berdiri, berjalan,senaman lengan, dan aktiviti penjagaan diri seperti makan atau memberus rambut.
Latar belakang
Orang dewasa yang sakit kritikal, dan menghabiskan masa di ICU, boleh membentuk kelemahan otot dan masalah lain. Ini boleh berlaku kerana penyakit yang mengakibatkan kemasukan mereka ke ICU, rawatan yang berkaitan dengan penyakit ini, kesan keadaan kesihatan yang berterusan, dan kekurangan pergerakan mereka semasa berada di ICU. Mereka juga mungkin bermasalah semasa meninggalkan ICU (atau hospital) seperti mengalami masalah melakukan aktiviti harian (misalnya memakai pakaian, mandi dan mobiliti); berasa murung atau resah dan sukar untuk kembali bekerja.
Kami ingin menilai jika membantu orang-orang ini bergerak lebih awal semasa tinggal di ICU membolehkan mereka menjaga diri, menjadi lebih kuat dan berasa lebih baik tentang kehidupan.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati empat kajian yang melibatkan sejumlah 690 orang dewasa yang pernah tinggal di ICU. Pesakit secara rawak menerima senaman dan bantuan untuk bergerak lebih awal semasa di ICU atau penjagaan biasa. Semua peserta pernah menggunakan mesin pernafasan pada satu ketika semasa di ICU. Tiga kajian memasukkan orang dewasa dengan penyakit kritikal melibatkan paru-paru atau respons badan yang teruk terhadap jangkitan dan satu kajian melibatkan orang dewasa yang telah menjalani pembedahan jantung.
Sumber pembiayaan kajian
Satu kajian dibiaya oleh Yayasan Penjagaan Intensif, Hospital Diraja Brisbane dan Hospital Wanita, Australia dan penyiasat disokong oleh Anugerah Lepasan Ijazah dari Singapura.
Keputusan Utama
Kami tidak dapat menentukan sama ada pergerakan awal atau senaman bagi orang sakit kritikal di ICU memperbaiki keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian, kekuatan otot, atau kualiti hidup. Terdapat hasil yang bercampur-campur tentang kesan pergerakan awal atau senaman terhadap fungsi fizikal. Satu kajian mendapati bagi beberapa ukuran fungsi fizikal, peserta yang menerima intervensi tersebut dapat bangun dari katil lebih awal dan berjalan lebih jauh. Walau bagaimanapun, kajian yang sama tidak mendapati perbezaan dalam bilangan aktiviti harian yang boleh mereka lakukan apabila meninggalkan ICU. Pergerakan atau senaman awal kelihatan selamat kerana bilangan kejadian buruk adalah sangat rendah. Tiada perbezaan di antara kumpulan yang menghabiskan masa di hospital, kekuatan otot atau kadar kematian.
Kualiti bukti
Secara keseluruhan, terdapat bukti berkualiti rendah daripada kajian-kajian tersebut. Antara sebab utama adalah bilangan kecil kajian yang telah menilai intervensi ini. Kebanyakan kajian hanya melibatkan sebilangan kecil peserta, dan para peserta dan staf kajian menyedari peruntukan kumpulan. Tambahan pula, dalam dua kajian, staf yang menilai hasil menyedari peruntukan kumpulan. Terdapat juga perbezaan dalam diagnosis peserta, intervensi dan cara hasil diukur. Empat kajian sedang menunggu klasifikasi, dan tiga kajian yang sedang berlangsung mungkin mengubah kesimpulan ulasan ini setelah terdapatnya keputusan-keputusan.
Bukti terkini
Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Ogos 2017.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.