Latar belakang: Salah satu simptom yang paling ditakuti berkaitan kanser adalah kesakitan. Opioid merupakan rawatan utama kesakitan tetapi kortikosteroid selalu digunakan, seiring dengan ubatan tahan sakit lazim. Ulasan ini menilai bukti kajian klinikal sehingga 29 September 2014 untuk menentukan keberkesanan kortikosteroid dalam merawat kesakitan berkaitan kanser dalam orang dewasa dan seberapa baik pesakit-pesakit mentoleransi rawatan ini.
Ciri-ciri kajian: Kami menemui 15 kajian yang relevan dengan 1926 peserta. Saiz kajian antara 20 hingga 598 pesakit dan tempoh kajian-kajian yang disertakan antara tujuh hari hingga 42 minggu. Kebanyakan kajian membandingkan kortikosteroid, terutamanya dexamethasone, dengan terapi standard.
Keputusan utama dan kualiti bukti: Keseluruhannya, kami mendapati bukti semasa adalah berdasarkan kajian-kajian dengan bilangan pesakit yang sedikit. Kesimpulan yang berikut boleh dibuat daripada bukti sedia ada: 1) bukti keberkesanan kortikosteroid untuk kawalan kesakitan dalam pesakit kanser adalah lemah (kualiti bukti GRADE untuk hasil kesakitan adalah rendah); 2) kelegaan kesakitan yang signifikan dilaporkan dalam beberapa kajian, walaupun hanya untuk jangka masa yang pendek; ini boleh menjadi penting untuk pesakit yang hanya mempunyai masa yang singkat untuk hidup; 3) keseluruhannya, banyak kajian mendapati kortikosteroid tidak mempunyai manfaat; 4) tidak dapat ditentukan sama ada steroid lebih berkesan untuk kesakitan dalam kanser-kanser tertentu; dan 5) profil kesan sampingan steroid, terutamanya dalam jangka masa panjang, tidak dijelaskan dengan baik.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my