Kawalan glukosa darah dalam rawatan ulser kaki diabetik (luka)

Latar belakang: Orang yang menghidap diabetes boleh mengalami ulser kaki (luka) atas beberapa sebab. Ini termasuk kerosakan saraf dan kekurangan aliran darah ke kaki. Paras glukosa darah yang tinggi boleh menjejaskan keupayaan ulser kaki untuk sembuh dan oleh itu mengawal glukosa darah secara intensif adalah bermanfaat.

Soalan ulasan: Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menjawab soalan; bagaimanakah mengawal glukosa darah secara lebih intensif berbanding kawalan glukosa darah konvensional mempengaruhi kesembuhan ulser kaki dalam kalangan pesakit diabetik?

Apa yang kami temui: Kami tidak menemui sebarang kajian yang telah diselesaikan mengenai topik ini dengan keputusan yang tersedia. Satu-satunya kajian yang memenuhi kriteria kami telah ditamatkan kerana menghadapi kesukaran dalam merekrut peserta. Oleh itu kami tidak pasti sama ada mengawal glukosa darah secara intensif apabila orang mengalami ulser kaki diabetik adalah bermanfaat atau berbahaya. Kekurangan bukti bagaimanapun tidak seharusnya menghalang usaha untuk mencapai kawalan glisemik yang optimum pada pesakit ulser kaki diabetik untuk menggalakkan penyembuhan seperti amalan semasa. Kami percaya pada masa ini terdapat dua kajian sedang dijalankan yang mungkin memberikan beberapa bukti mengenai topik ini setelah selesai.

Ringkasan Bahasa Mudah ini adalah terkini sehingga 7 Disember 2015.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information