Apakah matlamat ulasan ini?
Untuk mengetahui strategi yang boleh digunakan untuk meningkatkan cara kakitangan kesihatan mematuhi sistem tindakan yang dikenali sebagai 'Piawaian Langkah berjaga-jaga' untuk mengurangkan jangkitan dalam penjagaan kesihatan.
Mesej-mesej utama
Ulasan penulis mengenalpasti pelbagai strategi, yang sebahagian besarnya melibatkan pendidikan kakitangan kesihatan sahaja atau dengan strategi tambahan. Tidak jelas apakah strategi atau kombinasi strategi yang paling berkesan untuk meningkatkan pematuhan kakitangan kesihatan terhadap piawaian langkah berjaga-jaga atau pengetahuan mereka tentang piawaian langkah berjaga-jaga, atau untuk mengurangkan kadar kolonisasi (jangkitan berpotensi), kerana kami mendapati sedikit bukti; fakta ini, bersama dengan ketidakselarasan keputusan, mengurangkan keyakinan atau kepastian kami tentang bukti yang dijumpai.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Dianggarkan lebih dari empat juta pesakit di Eropah dan 1.7 juta di Amerika Syarikat mengalami jangkitan setiap tahun, dan kelaziman itu lebih tinggi di negara-negara sedang membangun. Jangkitan dikaitkan dengan peningkatan tempoh tinggal di hospital, kematian berlebihan, dan berbilion-bilion ringgit dalam kos hospital yang berkaitan. Mengikuti piawaian langkah berjaga-jaga, seperti menggunakan peralatan perlindungan peribadi atau amalan berikut untuk pengendalian jarum yang selamat, dapat mengurangkan penyebaran kuman dalam pengaturan penjagaan kesihatan. Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui kaedah mana yang berkesan dalam meningkatkan pematuhan kakitangan kesihatan terhadap piawaian langkah berjaga-jaga.
Apakah keputusan utama ulasan?
Penulis ulasan mendapati lapan kajian yang berkaitan dengan sejumlah 673 peserta. Tiga kajian dilaporkan dari Asia, dua dari Eropah, dua dari Amerika Utara, dan satu dari Australia. Strategi intevensi terdiri daripada pendidikan untuk kakitangan kesihatan, diberikan bersendirian atau dengan jenis pendidikan lain, seperti menunjukkan cara titisan pernafasan tersebar, atau dengan sokongan kawalan jangkitan tambahan. Strategi intervensi lain adalah penilaian rakan sebaya dan penggunaan senarai semak dan isyarat berwarna. Semua kajian menggunakan ukuran yang berbeza untuk menilai cara kakitangan kesihatan mengikuti atau mematuhi piawaian langkah berjaga-jaga. Dua kajian juga menilai sama ada terdapat peningkatan dalam pengetahuan kakitangan kesihatan ( piawaian langkah berjaga-jaga), dan satu kadar penaksiran MRSA (pengangkutan MRSA dengan peningkatan potensi untuk jangkitan) di kalangan penduduk dan kakitangan pusat penjagaan jangka panjang.
Pendidikan yang menunjukkan penyebaran titisan pernafasan, penilaian rakan sebaya, dan penggunaan senarai semak dan isyarat berwarna mungkin meningkatkan kepatuhan kepada piawaian langkah berjaga-jaga, dan pendidikan sahaja dan pendidikan dengan sokongan kawalan jangkitan tambahan mungkin sedikit memperbaiki kepatuhan terhadap piawaian langkah berjaga-jaga.
Pendidikan semata-mata mungkin sedikit meningkatkan pengetahuan, dan pendidikan menunjukkan penyebaran titisan pernafasan mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan pengetahuan. Pendidikan dengan sokongan kawalan jangkitan tambahan mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar rebakan MRSA.
Adakah ulasan ini terkini?
Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 14 Februari 2017.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.