Latar belakang dan soalan ulasan
Kondrosarkoma adalah salah satu jenis kanser tulang yang paling lazim, dengan pelbagai tahap keterukan. Tumor-tumor ini tumbuh dari sel yang membentuk rawan di dalam tulang, atau di permukaan tulang. Kondrosarkoma gred rendah (LGCS) adalah tumor yang tumbuh perlahan dan secara umumnya tidak merebak dan sering tidak membawa maut. Pada akhir abad ke-20, keadaan tersebut dirawat dengan memotong sebahagian besar tulang di sekeliling tumor (reseksi luas). Walau bagaimanapun, pakar bedah hari ini lebih lazim merawat tumor ini dengan mengikis tumor keluar dari tulang (rawatan intralesi). Dengan cara ini, struktur tulang dipelihara dan pembedahan ekstensif dapat dielakkan. Oleh itu, kurang potensi tidak upaya dan komplikasi dapat dikurangkan. Rawatan ini hanya sesuai jika hasil kemandiran rawatan kanser tidak berkompromi berbanding dengan reseksi luas. Kami mengulas bukti untuk mudarat dan manfaat kedua-dua jenis pembedahan ke atas hasil dalam kalangan orang dengan LGCS, termasuk perulangan tumor selepas pembedahan (perulangan setempat), tahap fungsi fizikal dan komplikasi selepas pembedahan.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga April 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti 14 kajian yang sesuai untuk analisis dengan sejumlah 511 peserta; 92 dirawat dengan reseksi luas manakala 419 dengan rawatan intralesi. Umur peserta adalah dari 13 hingga 82 tahun dan purata umur 48 tahun. Bilangan wanita melebihi lelaki sebanyak satu setengah kali, menunjukkan LGCS lebih lazim dalam kalangan wanita. Mereka disusul selama 24 hingga 300 bulan selepas pembedahan. Selain itu, kami tidak dapat mengekstrak data tepat dari empat kajian melibatkan 270 peserta, tetapi kajian-kajian tersebut diguna untuk mengesahkan analisis statistik.
Keputusan-keputusan utama
Kami dapati sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar perulangan setempat di antara jenis-jenis rawatan. Dalam 94% hingga 96% daripada kes-kes tersebut, tumor telah berjaya dibuang selepas satu operasi. Dalam beberapa kes di mana penyakit telah berulang, operasi kedua diperlukan. Orang dengan LGCS mungkin berfungsi lebih baik selepas rawatan intralesi yang kurang agresif, dan kadar komplikasi mungkin lebih rendah berbanding dengan pembedahan reseksi luas. Kurang 0.3% daripada semua orang dengan LGCS meninggal kerana penyakit mereka, tidak kira teknik pembedahan.
Kepastian bukti
Kepastian keseluruhan kajian-kajian adalah sangat rendah, kerana semua kajian hanya menerangkan keputusan rawatan yang lalu dan tiada kajian memilih pesakit secara rawak di antara kumpulan rawatan.
Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my