Latar belakang dan tujuan ulasan
Kepedihan otot tertunda menggambarkan kesakitan otot, kelembutan dan kekakuan yang dialami selepas senaman intensiti tinggi atau senaman yang tidak biasa. Pelbagai terapi digunakan untuk mencegah atau mengurangkan kepedihan otot selepas bersenam dan untuk meningkatkan pemulihan. Satu lagi terapi terkini yang penggunaannya semakin meningkat ialah krioterapi seluruh badan (WBC). Ini melibatkan pendedahan satu atau berulang kepada udara kering yang sangat sejuk (di bawah -100°C) dalam ruang atau kabin khusus untuk dua hingga empat minit setiap pendedahan. Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada WBC mengurangkan kepedihan otot, meningkatkan pemulihan dan selamat untuk mereka yang boleh menggunakannya.
Keputusan carian
Kami mencari pangkalan data perubatan sehingga Ogos 2015 untuk kajian yang membandingkan WBC dengan intervensi kawalan seperti rehat pasif atau tanpa rawatan; atau dengan intervensi aktif seperti rendaman air sejuk. Kami mendapati empat kajian kecil. Ini melaporkan keputusan untuk sejumlah 64 orang dewasa muda yang aktif secara fizikal. Semua kecuali empat peserta adalah lelaki. Kajian-kajian ini sangat berbeza pada jenis, suhu, tempoh dan kekerapan WBC serta latihan yang digunakan untuk menyebabkan kepedihan otot. Terdapat dua perbandingan: WBC berbanding intervensi kawalan; dan WBC berbanding terapi inframerah jauh.
Hasil utama
Keempat-empat kajian membandingkan WBC dengan sama ada rehat pasif atau tanpa rawatan. Ini memberikan beberapa bukti bahawa WBC boleh mengurangkan kepedihan otot (sakit semasa rehat) pada 1, 24, 48 dan 72 jam selepas bersenam. Walau bagaimanapun, bukti juga termasuk kemungkinan bahawa WBC mungkin tidak menyebabkan perbezaan atau boleh memburukkan lagi kesakitan. Terdapat beberapa bukti lemah bahawa WBC boleh meningkatkan kesejahteraan pada 24 jam. Tiada laporan dan berkemungkinan tiada pemantauan kesan sampingan dalam empat kajian ini.
Satu kajian yang sangat kecil juga membandingkan WBC dengan terapi inframerah jauh dan melaporkan tahap kepedihan otot yang lebih rendah sejam selepas rawatan.
Kualiti bukti
Keempat-empat kajian mempunyai aspek yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan hasil mereka. Kami memutuskan bahawa kualiti bukti adalah sangat rendah untuk semua hasil. Oleh itu, penemuan masih sangat tidak pasti dan penyelidikan lanjutan mungkin memberikan bukti yang boleh mengubah kesimpulan kami.
Kesimpulan
Bukti yang ada pada masa ini tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan WBC untuk mencegah dan merawat kepedihan otot selepas bersenam pada orang dewasa. Tambahan pula, preskripsi terbaik WBC dan keselamatannya tidak diketahui.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my