Apakah tujuan ulasan ini?
Kami berhasrat untuk mengetahui sama ada penyelarasan ubat menambah baik percanggahan ubat, hasil yang mempengaruhi pesakit secara khusus dan penggunaan penjagaan kesihatan apabila pesakit bergerak atau beralih antara penyedia penjagaan kesihatan (contohnya ahli farmasi, jururawat, doktor) dan tetapan (contohnya jabatan kecemasan, penjagaan kesihatan primer). Penyelarasan ubat melibatkan pembinaan senarai lengkap ubat seseorang, menyemak untuk ketepatan, menyelaras dan mendokumen sebarang perubahan. Penyelarasan ubat disyorkan sebagai intervensi untuk meningkatkan ketepatan maklumat ubat semasa peralihan. Semua peralihan penjagaan (contohnya rumah ke hospital, jabatan kecemasan ke wad hospital) dan jenis pesakit (contohnya kanak-kanak, orang tua) disertakan dalam ulasan.
Mesej utama
Penulis ulasan telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui 25 kajian. Ulasan ini mendapati bukti yang tidak boleh dipercayai bahawa intervensi mengurangkan bilangan percanggahan dalam ubat pesakit apabila mereka beralih antara tetapan penjagaan kesihatan yang berbeza. Begitu juga, manfaat dari segi hasil berorientasikan klinikal (contohnya kemasukan ke hospital) adalah tidak pasti.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Kami menyertakan kajian yang menggunakan reka bentuk rawak di mana orang dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak. Hasil utama yang diminati adalah sama ada kemungkinan sebarang percanggahan dalam senarai ubat pesakit dikurangkan selepas intervensi. Hasil lain yang dinilai dalam ulasan adalah kesan intervensi terhadap bilangan percanggahan ubat, kesan sampingan ubat, kesan sampingan ubat yang boleh dicegah, penggunaan hospital (contohnya lawatan ke jabatan kecemasan dan kemasukan semula ke hospital), kesan negatif/buruk intervensi dan penggunaan sumber.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penulis ulasan menemui 25 kajian yang dijalankan di lapan negara berbeza, di hospital atau tetapan berkaitan. Dua puluh tiga kajian terutamanya dihantar oleh ahli farmasi, satu adalah alat penyesuaian elektronik dan satu perubahan rekod perubatan. Kajian kebanyakannya menyertakan orang tua yang dipreskripsikan pelbagai ubat.
Walaupun banyak kajian mengurangkan kehadiran sekurang-kurangnya satu percanggahan ubat dalam orang yang menerima intervensi, kami tidak pasti sama ada penyelarasan mengurangkan percanggahan kerana kebolehpercayaan bukti adalah sangat rendah. Bukti untuk kesan intervensi terhadap bilangan percanggahan dan hasil klinikal seperti kesan sampingan ubat yang sebenar dan boleh dicegah, gabungan langkah penggunaan penjagaan kesihatan dan kemasukan semula yang tidak dirancang ke hospital adalah berbeza-beza dengan bukti yang terdiri daripada kebolehpercayaan sederhana hingga rendah atau sangat rendah.
Sejauh mana ulasan ini terkini?
Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2018.
Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my