Apakah kelebihan dan risiko senaman untuk orang dewasa dengan kanser yang mengalami kehilangan selera dan penurunan berat badan?

Mesej utama

Kami tidak tahu jika senaman membantu atau selamat untuk orang yang menghidap kanser yang mengalami kehilangan selera dan penurunan berat badan. Hal ini disebabkan terlalu sikit kajian yang telah menguji senaman dengan kumpulan pesakit ini. Kami memerlukan penyelidik untuk melakukan kajian yang rapi dan dirancang dengan lebih baik dalam bidang ini pada masa akan datang untuk membantu pesakit dan pakar perubatan memutuskan adakah senaman bermanfaat.

Mengapakah kami bertindak untuk mengulas penulisan?

Kebanyakan orang yang menghidap kanser mengalami kehilangan selera dan penurunan berat badan (cachexia kanser), disebabkan kanser itu sendiri atau rawatannya. Cachexia adalah lebih biasa dalam beberapa jenis kanser, seperti paru-paru dan pankreas, dan dalam kanser tahap lanjut. Ia boleh menjejaskan kemampuan untuk hidup kendiri dan meningkatkan keperluan untuk penjagaan disebabkan keletihan, kelemahan otot dan kualiti kehidupan yang merosot.

Pada masa ini tidak ada rawatan standard untuk cachexia. Satu pilihan rawatan adalah untuk pesakit untuk bersenam dan melihat apakah itu membantu menguatkan otot mereka dan menghentikan atau melambatkan penurunan berat badan dan otot.

Kami mengulas bukti daripada kajian klinikal untuk mengetahui jika senaman, bersendirian atau digabungkan dengan rawatan yang lain (seperti ubat, pendidikan atau maklumat kesihatan, dan nasihat pratikal tentang nutrisi) bermanfaat untuk orang yang menghidap cachexia kanser. Kami ingin mengetahui jika senaman meningkatkan:

· jisim badan tanpa lemak (jumlah berat badan tolak lemak badan);

· kekuatan otot dan daya tahan otot (keupayaan otot untuk mengulang senaman dalam jangka masa yang panjang);

· kapasiti senaman (jumlah maksimum usaha fizikal yang dapat ditanggung oleh seseorang);

· keletihan; dan

· kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (kemampuan untuk terlibat dalam kehidupan keluarga dan sosial serta tahap penjagaan diri dan persepsi keberkesanan diri)

Kami juga melihat sama ada:

· orang melakukan jumlah senaman yang ditetapkan dan

· senaman yang dikaitkan dengan sebarang risiko (kesan yang tidak diingini).

Bagaimanakah kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang menilai kesan senaman, bersendirian atau dengan rawatan lain, pada orang yang menghidap cachexia kanser. Kemudian, kami membandingkan dan merumuskan hasilnya. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui empat kajian yang merangkumi 178 orang (usia purata: 58 tahun; 52% hingga 82% orang dalam setiap kajian adalah lelaki). Kajian ini berlangsung selama enam minggu hingga tiga bulan. Dua kajian merangkumi pesakit kanser kepala dan leher, satu kajian merangkumi pesakit kanser paru-paru dan pankreas, dan kajian keempat merangkumi pelbagai jenis kanser.

Kajian-kajian tersebut membandingkan:

· senaman ditambah penjagaan biasa berbanding penjagaan biasa sahaja (satu kajian, 20 orang);

· senaman digabungkan dengan rawatan lain (ubat-ubatan, pendidikan kesihatan atau pemakanan) ditambah dengan penjagaan biasa berbanding rawatan biasa sahaja (tiga kajian, 158 orang).

Kajian tidak memberikan bukti yang cukup kuat untuk menentukan sama ada senaman dikaitkan dengan faedah atau risiko pada pesakit cachexia kanser.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amirul Iman (Persatuan Penterjemahan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu,my

Tools
Information