Soalan ulasan
Intervensi manakah membantu menggalakkan pemulihan lengan dan tangan selepas seseorang mengalami strok?
Latar belakang
Masalah fungsi lengan (kecacatan anggota atas) adalah perkara lazim selepas strok. Kecacatan anggota atas ini termasuklah kesukaran untuk bergerak dan menyelaraskan lengan, tangan dan jari-jari, mengakibatkan kesukaran menjalankan aktiviti harian seperti makan, berpakaian dan membersih diri. Lebih separuh orang dengan kecacatan anggota atas selepas strok masih mengalami masalah berbulan-bulan hingga bertahun-tahun selepas strok mereka. Memperbaik fungsi lengan adalah elemen teras pemulihan. Banyak intervensi telah dibangunkan; ia mungkin melibatkan pelbagai senaman atau latihan, peralatan atau teknik pakar, atau pengambilan ubat (pil atau suntikan) untuk membantu pergerakan lengan.
Pemulihan anggota atas selepas strok sering melibatkan beberapa intervensi berbeza dan secara am memerlukan kerjasama pesakit, penjaga dan pasukan rehabilitasi.
Untuk membantu orang mengakses maklumat tentang intervensi yang berkesan dengan mudah, dan untuk membantu mereka membandingkan kesan intervensi yang berbeza, kami menjalankan tinjauan Cochrane ini. Kami berhasrat untuk mengumpulkan semua ulasan sistematik intervensi yang tersedia untuk memperbaik fungsi anggota atas (lengan) selepas strok.
Ciri-ciri ulasan
Kami mencari ulasan Cochrane dan bukan Cochrane tentang keberkesanan intervensi untuk memperbaik fungsi lengan selepas strok. Kami sertakan 40 ulasan sistematik (19 ulasan Cochrane dan 21 ulasan bukan Cochrane). Bukti adalah terkini setakat Jun 2013.
Ulasan merangkumi 18 jenis intervensi yang berbeza, serta dos intervensi dan persekitaran intervensi disampaikan. Ulasan-ulasan ini berbeza-beza berhubung dengan populasi yang disertakan (kecacatan awal anggota atas dan keterukan strok) dan berhubung dengan kumpulan perbandingan yang disertakan (yang diberi intervensi kawalan, tiada rawatan dan terapi konvensional).
Kami mengekstrak butiran 127 perbandingan yang telah diterokai dalam ulasan-ulasan tersebut. Ia menunjukkan sejauh mana intervensi yang berbeza memberi kesan ke atas fungsi anggota atas, kecacatan anggota atas dan keupayaan untuk melakukan aktiviti kehidupan harian.
Keputusan utama
Pada masa ini tiada bukti berkualiti tinggi tersedia untuk sebarang intervensi yang terkini digunakan sebagai sebahagian daripada amalan rutin. Tiada cukup bukti untuk menunjukkan intervensi yang paling efektif dalam memperbaik fungsi anggota atas.
Bukti kualiti sederhana menunjukkan intervensi berikut mungkin efektif: terapi pergerakan akibat kekangan (CIMT), amalan mental, terapi cermin, intervensi untuk kecacatan sensori, realiti maya dan dos amalan tugas berulang yang agak tinggi. Bukti kualiti sederhana juga menunjukkan latihan lengan unilateral (senaman untuk lengan yang terjejas) mungkin lebih efektif berbanding latihan lengan bilateral (melakukan senaman yang sama dengan kedua-dua lengan pada masa yang sama).
Sesetengah bukti menunjukkan dos intervensi yang lebih tinggi adalah lebih baik berbanding dos yang lebih rendah. Penyelidikan tambahan untuk mengenal pasti dos optimum rehabilitasi lengan adalah perlu.
Menghimpun semua bukti ulasan sistematik sedia ada telah membantu kami membuat syor yang khusus untuk penyelidikan masa hadapan. Cadangan ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) kajian rawak terkawal yang besar tentang CIMT, amalan mental, terapi cermin dan realiti maya. Kami syorkan ulasan terkini berkualiti tinggi dan penyelidikan primer lanjutan untuk beberapa intervensi tertentu.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti adalah tinggi berhubung dengan satu intervensi: sejenis rangsangan otak yang dipanggil rangsangan arus terus transkranial (transcranial direct current stimulation (tDCS), yang tidak diguna pada masa ini dalam amalan rutin. Bukti berkualiti tinggi ini menunjukkan tDCS tidak memperbaik keupayaan melakukan aktiviti kehidupan harian.
Kami menilai kualiti bukti adalah sederhana untuk 48 perbandingan (merangkumi tujuh intervensi-intervensi individu) dan rendah atau sangat rendah untuk 76 perbandingan. Sebab-sebab menurunkan gred kualiti bukti kepada sederhana, rendah atau sangat rendah adalah bilangan kajian dan peserta yang kecil, kualiti metodologi yang lemah atau pelaporan kajian yang dalam ulasan, heterogeniti (variasi) yang besar antara keputusan kajian dan kualiti ulasan atau pelaporan kaedah yang lemah.
Kami menyimpulkan bukti berkualiti tinggi yang berkait dengan keberkesanan intervensi untuk meningkatkan fungsi anggota atas amat diperlukan dengan segera, khususnya bagi intervensi yang mana bukti kualiti sederhana pada masa ini mencadangkan kesan yang memberi manfaat.
Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my