Rangsangan otot untuk orang yang mempunyai penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD)

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti untuk menggunakan rangsangan elektrik pada otot paha orang yang menghidap COPD (keadaan paru-paru jangka panjang yang dicirikan dengan batuk, pengeluaran sputum (cecair dari paru-paru, iaitu kahak) dan kesukaran bernafas). Kami melihat kajian yang menggunakan dua kumpulan; satu menerima rangsangan elektrik dengan meletakkan pad konduktif di atas otot, yang lain menerima rawatan perubatan biasa. Kami juga melihat kajian yang menambah rangsangan elektrik kepada program senaman dan membandingkan hasilnya dengan kumpulan yang hanya menjalankan program senaman.

Kajian mengukur kekuatan dan daya tahan otot (berapa lama otot boleh berfungsi), saiz otot, kapasiti senaman, sesak nafas, keletihan kaki dan kualiti hidup berkaitan kesihatan (HRQoL; ukuran kepuasan seseorang terhadap kehidupan dan kesihatan mereka) . Kami juga melihat sama ada menggunakan rangsangan elektrik pada otot di paha menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Latar belakang

Penghidap COPD mendapati sukar untuk bersenam dan berasa sesak nafas. Tetapi senaman seperti berjalan pantas yang kerap atau berbasikal pegun mengurangkan kesukaran bernafas dan meningkatkan keupayaan untuk bersenam. Salah satu cara senaman boleh membantu adalah dengan memperbaiki keadaan (sejauh mana ia berfungsi) otot paha.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah orang dengan COPD, bersenam pada tahap yang cukup tinggi untuk memperbaiki keadaan otot paha adalah sukar kerana mereka mengalami sesak nafas yang teruk dengan senaman. Pada orang ini, mungkin menggunakan arus elektrik untuk merangsang otot paha akan membantu memperbaiki keadaan mereka. Oleh kerana rangsangan elektrik hanya digunakan pada sedikit otot (berbeza dengan senaman, yang melibatkan beberapa otot), rangsangan elektrik boleh diselesaikan tanpa menyebabkan sesak nafas . Jika rangsangan elektrik boleh memperbaiki keadaan otot kaki, ia mungkin pendekatan pemulihan yang berguna.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2018.

Ciri-ciri kajian

Sembilan belas kajian memenuhi kriteria kemasukan untuk ulasan, di mana 16 mempunyai data mengenai 267 peserta yang boleh dimasukkan dalam analisis. Purata umur orang dalam setiap kajian adalah antara 56 hingga 76 tahun dan 179 (67%) adalah lelaki. Tujuh kajian meneroka kesan menggunakan rangsangan elektrik sahaja dan sembilan kajian meneroka kesan menambah rangsangan elektrik pada program senaman. Rangsangan elektrik telah digunakan dalam pelbagai tetapan, seperti di rumah, di jabatan hospital pesakit luar, di wad hospital atau di unit rawatan rapi. Kebanyakan kajian merangsang otot paha sekali atau dua kali sehari selama 30 hingga 60 minit pada empat hingga tujuh hari setiap minggu selama empat hingga lapan minggu.

Keputusan utama

Kajian yang meneroka kesan penggunaan rangsangan elektrik sahaja menunjukkan peningkatan kekuatan dan daya tahan otot paha. Kebanyakannya menunjukkan peningkatan dalam beberapa, tetapi tidak semua, ukuran kapasiti senaman dan penurunan dalam keterukan keletihan kaki selepas senaman. Kajian yang meneroka kesan menambah rangsangan elektrik pada program senaman menunjukkan peningkatan kecil dalam jarak berjalan selama enam minit. Pada orang yang paling tidak sihat (cth dalam unit rawatan rapi), menambahkan rangsangan elektrik pada program senaman membantu orang mengurangkan hari berada di atas katil. Rangsangan elektrik tidak meningkatkan risiko kesan sampingan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang disediakan oleh ulasan ini adalah rendah. Ini kerana kebanyakan kajian mempunyai masalah dari segi reka bentuk. Kemasukan kajian masa depan ke dalam ulasan ini berkemungkinan mengubah keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information