Apakah isunya?
Terdapat keperluan global untuk meningkatkan jumlah organ yang ada untuk transplantasi. Satu potensi strategi adalah menggalakkan lebih ramai individu untuk mendaftar sebagai penderma organ.
Apa yang kami lakukan?
Bagi menangani perkara ini, kami mengenal pasti 46 kajian yang menguji pelbagai strategi untuk menggalakkan orang mendaftar sebagai penderma organ. Enam belas daripada kajian-kajian ini menguji pendaftaran sebenar, 27 kajian menguji niat seseorang untuk mendaftar/menderma dan tiga kajian menguji kedua-duanya.
Apa yang kami temui?
Kajian-kajian dilakukan di persekitaran yang sangat berbeza termasuk sekolah, pusat pemandu kenderaan bermotor (DMV), penjagaan primer dan di komuniti setempat. Kajian-kajian juga menggunakan strategi yang sangat berbeza untuk meningkatkan pendaftaran seperti pendidikan, melatih pemimpin sebaya, melatih kakitangan DMV atau penjagaan primer, dan menggambarkan maklumat mengenai pendermaan organ dalam cara-cara tertentu.
Kami mendapati bahawa kajian-kajian mempunyai kesan keseluruhan yang kecil terhadap niat seseorang untuk mendaftar/menderma bersama dengan kadar pendaftaran sebenar, namun, tiada strategi yang tertentu yang nyata lebih berkesan daripada yang lain. Terdapat bukti yang meyakinkan bahawa melatih pemimpin sebaya dalam komuniti untuk menyampaikan pendidikan pendermaan organ boleh meningkatkan kadar pendaftaran dan pendidikan berasaskan kelas dari anggota komuniti transplantasi boleh meningkatkan niat untuk mendaftar/menderma. Terdapat juga beberapa bukti bahawa menggambarkan maklumat pendermaan organ dalam cara-cara tertentu boleh membantu meningkatkan niat seseorang untuk mendaftar/menderma tetapi kajian lebih lanjut diperlukan.
Kesimpulan
Ringkasnya, strategi-strategi untuk meningkatkan pendaftaran pendermaan organ mempunyai beberapa manfaat tetapi sangat berbeza dari segi persekitaran di mana mereka disampaikan, siapa yang mereka sasarkan dan bagaimana mereka disampaikan.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.