Mesej utama
Ulasan ini mendapati bahawa terlalu sedikit kajian untuk menentukan sama ada pengujian untuk kanser yang tidak didiagnos pada orang dengan tromboemboli vena (VTE) pertama yang tidak diprovokasi adalah berkesan untuk mengurangkan kanser serta kematian dan penyakit berkaitan VTE. Kajian yang lebih berkualiti dan berskala besar adalah diperlukan.
Mangapa soalan ini penting?
Tromboemboli vena (VTE) merujuk pada pembekuan darah di vena kaki (dikenali sebagai trombosis vena dalam (DVT), yang boleh bergerak ke paru-paru (menyebabkan embolisme paru-paru (PE)). PE sering boleh membawa maut. Tanda-tanda DVT termasuk sakit dan bengkak kaki manakala tanda-tanda PE termasuk sesak nafas dan sakit dada. Faktor risiko VTE ialah pembedahan, baring yang berpanjangan, trauma, sejarah keluarga, kehamilan dan kekurangan darah. Kadang-kala VTE berlaku tanpa sebab yang jelas (ia tidak diprovokasi). Pada orang seperti itu, kanser yang tidak dikesan boleh menjadi penyebab VTE. Ini telah menimbulkan persoalan sama ada orang dengan VTE yang tidak diprovokasi harus disiasat untuk kanser. Ini penting kerana pengurusan VTE pada orang dengan kanser dan tanpa kanser adalah berbeza. Diagnosis kanser akan memastikan pesakit menerima rawatan yang optimum untuk mengurangkan risiko VTE lain. Diagnosis juga dapat menyebabkan kanser dirawat lebih awal, pada tahap yang boleh disembuhkan.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal yang menilai sama ada pengujian untuk kanser yang tidak didiagnos pada orang dengan VTE (DVT atau PE) pertama yang tidak diprovokasi adalah berkesan dalam mengurangkan kanser serta penyakit dan kematian yang berkaitan dengan VTE. Dalam kajian rawak terkawal, rawatan atau ujian diterima seseorang ditentukan secara rawak, biasanya memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai kesan rawatan.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui empat kajian dengan 1644 peserta. Dua kajian membandingkan ujian kanser yang luas dengan ujian yang dilakukan mengikut budi bicara doktor dan dua kajian yang membandingkan ujian kanser beserta imbasan dengan ujian kanser sahaja. Gabungan keputusan daripada dua kajian tersebut menunjukkan bahawa ujian yang luas tidak memberi kesan pada jumlah kematian berkaitan kanser. Selain itu, ujian yang luas tidak dapat mengenal pasti lebih ramai pesakit kanser. Walau bagaimanapun, pengujian yang luas dapat mengenal pasti kanser pada tahap lebih awal (kira-kira 10 bulan awal) dan kanser adalah kurang berkembang pada orang dalam kumpulan pengujian yang luas daripada orang dalam kumpulan ujian yang dilakukan mengikut budi bicara doktor. Tidak ada kajian yang melihat pada jumlah kematian yang disebabkan oleh sebarang sebab, kematian dan penyakit berkaitan dengan VTE, kesan sampingan dari ujian kanser, kesan sampingan rawatan VTE atau kepuasan peserta. Dua kajian membandingkan ujian beserta imbasan dengan ujian sahaja menunjukkan bahawa penambahan imbasan tomografi mempunyai sedikit atau tidak ada kesan pada jumlah kematian, kematian berkaitan dengan kanser, penyakit berkaitan dengan VTE; ia juga tidak dapat mengenal pasti lebih ramai orang yang menghidap kanser, atau menunjukkan perbezaan masa yang jelas untuk diagnosis ataupun tahap kanser yang didiagnosis. Tidak ada kajian yang melihat pada kematian berkaitan dengan VTE, kesan sampingan ujian kanser, kesan sampingan rawatan VTE, kepuasan peserta atau kualiti hidup.
Berapa yakinkah kami terhadap bukti ini?
Semasa membandingkan ujian yang luas dengan ujian yang mengikut budi bicara doktor, kepastian bukti adalah rendah kerana terdapat berat sebelah yang disebabkan oleh kedua-dua kajian tersebut berhenti lebih awal. Apabila membandingkan ujian beserta imbasan PET/CT dengan ujian sahaja, kepastian bukti berkisar dari rendah hingga sederhana kerana masalah dengan bagaimana kajian dirancang, ketidaktepatan yang disebabkan oleh jumlah peristiwa yang rendah serta berat sebelah yang disebabkan oleh kekurangan pembutaan orang yang menilai kesannya.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan Cochrane ini mengemaskini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my