Para penyelidik menjalankan ulasan terhadap kesan senaman terhadap kesihatan fizikal, emosi dan mental bagi orang dengan sakit sendi lutut atau sakit sendi pinggul berpanjangan (kronik) akibat osteoartritis. Kajian-kajian yang diperiksa adalah dari Eropah, Amerika Utara, Asia dan Australasia, dan termasuk persekitaran klinikal, senaman di rumah dan sesi di kemudahan senggang. Kajian-kajian memasukkan lelaki dan wanita berusia 45 tahun ke atas.
Apakah sakit sendi kronik dan apakah senaman?
Sakit lutut dan pinggul kronik akibat osteoartritis (kerosakan tulang dan tulang rawan, menyebabkan sakit dan kaku) adalah penyebab lazim kehilangan upaya fizikal, keresahan, kemurungan, kualiti kehidupan yang buruk dan masalah sosial (seperti merasa terbeban). Senaman disyorkan untuk mengurangkan sakit dan kehilangan upaya, dan memperbaiki kepercayaan kesihatan, kemurungan, keresahan dan kualiti hidup. Kami ingin memperbaiki kefahaman tentang hubungan di antara sakit, keupayaan pergerakan, isu psikologi seperti kemurungan dan keresahan, bagaimana sakit kronik mempengaruhi hubungan sosial, dan senaman.
Apa yang berlaku kepada orang dengan sakit lutut atau pinggul kronik yang mengambil bahagian dalam program senaman?
Carian pangkalan data perubatan sehingga Mac 2016 mendapati 21 kajian dengan 2372 orang yang menganggap sakit, pergerakan atau kedua-duanya bersama-sama hasil psikologi dan sosial apabila orang dengan sakit dan kaku di lutut, pinggul, atau kedua-duanya mengambil bahagian dalam senaman. Penyertaan dalam program senaman mungkin memperbaiki sedikit sakit, fungsi fizikal, kemurungan, dan keupayaan untuk berhubung dengan orang lain, dan sedikit atau tiada perbezaan dalam keresahan. Ia boleh memperbaiki kepercayaan terhadap kemampuan seseorang, dan fungsi sosial.
Kajian-kajian mengesahkan bahawa:
- orang yang bersenam menilai sakit mereka 1.2 mata lebih rendah pada skala 0 hingga 20 selepas kira-kira 45 minggu (skor: 5.3 dengan senaman berbanding 6.5 tanpa senaman (kawalan), penambahbaikan sebanyak 6%).
- fungsi fizikal bertambah baik sebanyak 5% selama 41 minggu (kumpulan senaman bertambah baik sebanyak 5.6 mata pada skala 0 hingga 100 (44.3 dengan senaman berbanding 49.9 kumpulan kawalan)).
- keyakinan orang terhadap apa yang mereka boleh lakukan meningkat 2% selepas 35 minggu (kumpulan senaman menambahbaik 1.1 mata pada skala 17 hingga 85 (65.4 dengan senaman berbanding 64.3 dengan kumpulan kawalan).
- orang yang bersenam adalah 2% kurang murung, atau setengah mata pada skala 0 hingga 21, selepas 35 minggu (3.0 mata dengan senaman berbanding 3.5 dengan kumpulan kawalan).
- senaman membuat orang berasa kurang resah tentang diri mereka sendiri dengan 2%, turun 0.4 pada skala 0 hingga 21, selepas 24 minggu (5.4 mata dengan senaman berbanding 5.8 dengan kumpulan kawalan).
- senaman menghasilkan interaksi sosial yang bertambah baik sebanyak 7.9 mata selepas 36 minggu pada skala 0 hingga 100, memberikan perubahan 8% (81.5 dengan senaman berbanding dengan 73.6 dengan kumpulan kawalan).
Kualiti bukti secara umumnya sederhana, tetapi rendah untuk keyakinan terhadap keupayaan, kesihatan mental dan fungsi sosial. Ini terutamanya disebabkan oleh pelbagai langkah, membuatkan perbandingan lebih sukar, dan kerana orang yang mengambil bahagian tahu bahawa mereka bersenam maka mungkin telah dipengaruhi oleh jangkaan penambahbaikan. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan kesan sampingan. Kajian-kajian tersebut berlangsung untuk tempoh yang berbeza,oleh itu kami tidak tahu jika perubahan berlaku dengan cepat dan dikekalkan, atau sama ada penambahbaikan adalah secara beransur-ansur disepanjang kajian. Sesetengah kajian mengambil ukuran selepas program berbanding dengan yang lain.
Di samping itu, 12 kajian menyiasat pendapat, kepercayaan dan pengalaman senaman para peserta, dan sama ada senaman mengubahnya. Keseluruhannya, kualiti bukti adalah tinggi. Pada mulanya orang-orang keliru tentang ciri-ciri sakit mereka, yang membentuk perasaan mereka, tingkah laku dan keputusan mereka tentang melegakan sakit. Orang berfikir pergerakan dan senaman baik untuk sendi, tetapi pergerakan menyebabkan rasa sakit dan mereka bimbang ini mungkin membahayakan mereka. Kekurangan maklumat daripada profesional perubatan bermaksud orang ramai mengelakkan aktiviti fizikal dan senaman kerana takut menyebabkan kerosakan.
Keseluruhannya, orang yang telah mengambil bahagian dalam program senaman mempunyai pengalaman positif, membantu meningkatkan keyakinan mereka bahawa senaman dapat memperbaiki sakit, kesihatan fizikal dan mental, dan kualiti kehidupan umum.
Memberi nasihat jaminan dan senaman, mencabar kepercayaan kesihatan yang lemah, dan menyediakan program senaman yang menyeronokkan boleh menggalakkan penyertaan dan memberi manfaat kepada kesihatan orang ramai.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.