Mesej utama
Kami sangat tidak pasti jika rawatan fisioterapi akan menambah baik kesakitan dan ketidakupayaan yang berkaitan dengan sindrom kesakitan serantau kompleks (complex regional pain syndrome, CRPS).
Kami sangat tidak pasti kerana percubaan klinikal yang kami menjumpai:
- tidak dijalankan atau dilaporkan sebaik mungkin (atau kedua-duanya);
- menyertakan sejumlah kecil pesakit dengan CRPS;
- menguji pelbagai jenis rawatan fisioterapi yang berbeza; dan
- kerana terdapat bilangan percubaan yang terhad yang menyiasat sebarang rawatan fisioterapi tertentu.
Kami sangat tidak pasti jika rawatan fisioterapi mengakibatkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini; lebih banyak bukti diperlukan untuk menjelaskan perkara ini.
Percubaan klinikal berkualiti baik diperlukan untuk menyiasat lebih lanjut sama ada rawatan fisioterapi menamhahbaikkan kesakitan dan ketidakupayaan yang berkaitan dengan CRPS atau tidak.
Merawat kesakitan dan ketidakupayaan pada orang dewasa dengan CRPS
CRPS ialah keadaan yang menyakitkan dan melumpuhkan yang boleh berlaku selepas trauma atau pembedahan dan dikaitkan dengan kesakitan dan ketidakupayaan yang ketara. CRPS boleh diklasifikasikan kepada dua jenis: jenis I (CRPS I) di mana kecederaan saraf tertentu belum dikenal pasti dan jenis II (CRPS II) di mana terdapat kecederaan saraf yang boleh dikenal pasti. Garis panduan mengesyorkan bahawa pemulihan fisioterapi harus dimasukkan sebagai sebahagian daripada rawatan CRPS. Fisioterapi untuk CRPS boleh merangkumi pelbagai rawatan dan pendekatan pemulihan, seperti senaman, pengurusan kesakitan, terapi manual, elektroterapi atau nasihat dan pendidikan, sama ada digunakan secara bersendirian atau digabungkan. Fisioterapi disyorkan kerana dianggap boleh menambahbaikkan kesakitan dan ketidakupayaan yang berkaitan dengan CRPS.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan fisioterapi manambahbaikkan kesakitan dan ketidakupayaan pada orang dewasa (berumur lebih 18) dengan CRPS.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari percubaan klinikal yang melibatkan orang dewasa dengan CRPS, yang membandingkan rawatan fisioterapi dengan rawatan plasebo atau penjagaan rutin atau yang membandingkan rawatan fisioterapi yang berbeza antara satu sama lain.
Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah percubaan, saiz dan tempoh susulan.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menjumpai 33 percubaan klinikal yang melibatkan 1317 orang secara keseluruhan dengan CRPS jenis I anggota atas atau bawah, atau kedua-duanya. Percubaan kajian telah menyiasat kesan pelbagai rawatan fisioterapi. Kami mendapati hanya satu percubaan yang melibatkan 22 orang dengan CRPS jenis II.
Di sini kami membentangkan penemuan daripada perbandingan antara rawatan fisioterapi yang berbeza dan rawatan plasebo atau penjagaan rutin dan untuk perbandingan rawatan fisioterapi yang berbeza antara satu sama lain.
Mengurangkan kesakitan
Kami tidak pasti sama ada mana-mana rawatan fisioterapi yang disiasat dalam percubaan klinikal yang kami kenal pasti membantu mengurangkan kesakitan yang berkaitan dengan CRPS.
Mengurangkan ketidakupayaan
Kami tidak pasti sama ada mana-mana rawatan fisioterapi yang disiasat dalam percubaan klinikal yang kami kenal pasti membantu mengurangkan ketidakupayaan yang dikaitkan dengan CRPS.
Kesan-kesan sampingan
Kami tidak pasti jika mana-mana rawatan fisioterapi yang disiasat dalam percubaan klinikal yang kami kenal pasti menyebabkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti tersebut?
Percubaan klinikal adalah kecil dan kebanyakannya telah dijalankan dengan cara yang boleh memperkenalkan kesilappan ke dalam keputusan mereka. Ini mengehadkan keyakinan kami terhadap bukti tersebut.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2021.
Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my