Soalan ulasan
Adakah prosedur tambahan bukan pembedahan yang mendakwa mempercepat pergerakan gigi ortodontik mengurangkan tempoh keseluruhan rawatan ortodontik?
Latar belakang
Di seluruh dunia, rawatan ortodontik dibuat untuk membetulkan posisi gigi dalam kalangan remaja dan dewasa apabila mereka mengalami masalah dengan gigi dan gigitan. Aplians ortodontik boleh berbeza-beza jenis, dan termasuk pendakap tetap (terdiri dari braket yang dilekatkan pada gigi dan disambung dengan wayar) dan aplians boleh tanggal, contohnya penjajar jernih, yang merupakan satu set pelindung gusi boleh tanggal plastik jernih yang muat rapat pada gigi. Bergantung pkeada masalah gigi dan gigitan, tempoh masa untuk rawatan ortodontik mungkin sekitar beberapa bulan hingga beberapa tahun. Walau bagaimanapun, kebanyakan rawatan ortodontik penuh biasanya mengambil masa sekitar 20 bulan. Rawatan ortodontik dikenali untuk memperbaiki penampilan senyuman, yang memberi kesan positif kepada pesakit; walau bagaimanapun, rawatan ortodontik boleh membawa beberapa risiko yang tidak diingini, seperti kerosakan gigi dan pemendekan akar gigi. Mempercepat kadar pergerakan gigi boleh membantu mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk sesuatu rawatan dan mengurangkan kesan tidak diingini rawatan ortodontik yang kadangkala boleh berlaku. Pelbagai kaedah termasuk rawatan surgikal dan bukan-surgikal telah dicadangkan untuk mempercepat pergerakan gigi. Bukti berkaitan rawatan bukan surgikal untuk mempercepat pergerakan gigi ortodontik dinilai dalam ulasan ini.
Pengarang Kesihatan Mulut Cochrane menjalankan kemas kini ulasan sistematik kajian-kajian sedia ada. Bukti adalah terkini sehingga September 2022.
Ciri-ciri kajian
Kami sertakan 23 kajian melibatkan sejumlah 1027 peserta, lelaki dan perempuan, serta kanak-kanak dan dewasa. Ulasan tersebut menyiasat peralatan daya getaran ringan, terapi laser tahap rendah dan terapi diod pemancar cahaya (LED) sebagai tambahan kepada rawatan ortodontik di kedua-dua amalan swasta dan hospital universiti. Kajian menilai pelbagai aspek pergerakan gigi ortodontik dan kesan sampingan. Dalam kajian-kajian tersebut, peserta dirawat sama ada dengan aplians ortodontik tetap atau penjajar boleh tanggal ortodontik. Para peserta dalam semua kajian mempunyai kesesakan gigi di satu atau kedua-dua rahang. Beberapa kajian sertakan peserta yang perlu cabutan gigi untuk melegakan kesesakan gigi dan pembetulan gigitan dengan penutupan ruang, manakala kajian-kajian lain sertakan peserta yang tidak perlukan cabutan gigi. Peratusan peserta yang hilang untuk susulan dalam kajian-kajian bagi ulasan ini adalah antara 0% hingga 27% daripada sampel asal.
Kajian-kajian menilai tujuh hasil: tempoh rawatan ortodontik, bilangan janji temu yang diperlukan untuk melaraskan aplians ortodontik, kadar pergerakan gigi pada peringkat yang berbeza, persepsi pesakit terhadap sakit dan ketidakselesaan, pesakit yang perlukan ubat tahan sakit, dan kesan sampingan yang tidak diingini. Terdapat perbezaan yang ketara antara beberapa kajian; walau bagaimanapun, keputusan-keputusan sesetengah kajian dapat digabung untuk daya getaran cahaya dan terapi laser tahap rendah.
Keputusan utama
Terdapat bukti kepastian rendah untuk mencadangkan penggunaan daya getaran ringan semasa rawatan ortodontik (peralatan tetap atau boleh tanggal) tiada kelebihan ketara untuk sebarang hasil yang dinilai.
Terdapat bukti kepastian yang sangat rendah untuk mencadangkan penggunaan laser tahap rendah dan terapi LED boleh mengurangkan tempoh peringkat awal rawatan pendakap ortodontik tetap (penjajaran), tetapi sukar untuk menganggar impak hasil ini terhadap tempoh rawatan ortodontik komprehensif penuh.
Kesimpulan
Daripada bukti terhad yang ada, kami tidak menemui manfaat penggunaan daya getaran cahaya atau fotobiomodulasi untuk pengurangan tempoh rawatan ortodontik. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat potensi manfaat fotobiomodulasi bagi mengurangkan tempoh peringkat awal rawatan ortodontik sahaja dan meningkatkan kelajuan pergerakan gigi; adalah penting untuk menyedari keputusan daripada fasa diskret tidak semestinya memberi kesan yang sama terhadap tempoh rawatan ortodontik penuh. Kajian lanjutan yang direka dengan baik dengan susulan yang lebih lama diperlukan.
Kepastian bukti
Kepastian kami tentang bukti adalah rendah hingga sangat rendah.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine,Taylor's University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my