Ubat untuk mengurangkan keradangan dalam kalangan orang dengan demam Mediterranean familial

Soalan ulasan

Bolehkah rawatan seperti colchicine, anakinra, rilonacept, canakinumab, etanercept, infliximab, adalimumab, thalidomide, tocilizumab, interferon-α dan ImmunoGuard (tambahan herba)) mengurangkan keradangan dalam kalangan orang dengan demam Mediterranean familial (FMF)?

Latar belakang

FMF adalah penyakit keradangan keturunan, dengan gejala serangan yang kerap termasuk demam melebihi 38 ℃, sakit dan keradangan membran yang mengelilingi kaviti dada, sendi atau paru-paru. Kami ingin tahu sama ada ubat-ubatan ini lebih baik untuk mengurangkan keradangan bagi orang dengan FMF berbanding plasebo (rawatan yang tidak mengandungi ubat aktif) atau tanpa rawatan, dan juga membandingkan ubat-ubat ini antara satu sama lain.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 17 Ogos 2021.

Ciri-ciri kajian

Ulasan iini memasukkan 10 kajian dengan 312 orang dengan FMF berusia antara tiga dan 53 tahun. Lapan kajian membandingkan lima ubat, colchicine, rilonacept, ImmunoGuard, anakinra dan canakinumab, dengan plasebo. Peserta menerima satu ubat atau plasebo secara rawak selama satu hingga empat bulan. Dua lagi kajian membandingkan colchicine 1 mg sekali sehari dengan colchicine dua hingga tiga kali sehari dalam kalangan kanak-kanak selama enam hingga lapan bulan.

Keputusan utama

Kami ingin laporkan bilangan peserta yang mengalami serangan, masa serangan, pencegahan amyloidosis amiloid A (yang berupa tindakbalas kepada penyakit radang kronik atau jangkitan yang membawa kepada pembentukan protein abnormal yang dipanggil amiloid dalam organ dan tisu di seluruh badan yang mengganggu fungsi), dan sebarang kesan sampingan rawatan dan paras beberapa penanda keradangan semasa serangan. Tidak semua kajian melaporkan hasil-hasil ini. Memandangkan perbezaan dalam rawatan dan reka bentuk kajian, adalah tidak mungkin untuk menggabung sebarang keputusan yang kami dapati daripada kajian-kajian tersebut.

Satu kajian (15 peserta) dengan colchicine oral 0.6 mg tiga kali sehari dan satu lagi kajian (63 peserta) dengan canakinumab 150 mg subkutaneus (di bawah kulit) setiap empat minggu selama 16 minggu boleh membantu mengurangkan bilangan orang dengan serangan FMF . Walau bagaimanapun, colchicine oral dos 0.5 mg dua kali sehari (20 peserta), rilonacept (14 peserta) atau anakinra (25 peserta) tidak mengurangkan bilangan orang dengan serangan. ImmunoGuard (24 peserta) tidak mengurangkan paras penanda keradangan dalam darah yang meningkat semasa fasa serangan FMF; ini termasuk kadar kejatuhan sel darah merah apabila dimasukkan ke dalam tabung uji, kiraan sel darah putih dan kehadiran protein C-reaktif (protein yang dihasilkan dalam hati). Anakinra dan canakinumab mengurangkan paras protein C-reaktif. Colchicine yang diambil sekali sehari dan dua hingga tiga kali sehari mungkin tidak menunjukkan hasil yang berbeza termasuk masa serangan, kesan sampingan ubat dan indikator respon fasa akut.

Kualiti bukti

Empat kajian direka dengan baik, manakala yang lain bermasalah reka bentuk yang mungkin mempengaruhi keputusan. Empat kajian tidak melaporkan dengan jelas cara orang dipilih untuk setiap kumpulan rawatan. Empat kajian tidak melaporkan sama ada penyelidik yang menilai hasil kajian mengetahui individu yang diberi rawatan. Empat kajian tidak menjelaskan alasan orang yang menarik diri dari kajian dan satu kajian mempunyai peratusan tinggi peserta yang tidak melengkapkan kajian. Kami tidak dapat mengesahkan sama ada setiap hasil yang dirancang dilaporkan di dalam lima kajian. Lima kajian tidak melaporkan keterukan FMF di dalam kumpulan pada permulaan rawatan. Kami menilai bukti untuk hasil yang dilaporkan sebagai berkualiti sederhana hingga sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information